Topik diikuti
Pergi ke BHkuNDP: Orang ramai disaran tiba awal susulan penutupan jalan, keselamatan dipertingkat di sekitar Stadium Negara
NDP: Orang ramai disaran tiba awal susulan penutupan jalan, keselamatan dipertingkat di sekitar Stadium Negara
NDP: Orang ramai disaran tiba awal susulan penutupan jalan, keselamatan dipertingkat di sekitar Stadium Negara
Mereka yang menghadiri Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) di Stadium Negara pada 9 Ogos dinasihatkan supaya tiba lebih awal berikutan penutupan jalan dan langkah keselamatan yang dipertingkat.
Sambutan NDP turut melibatkan kawasan sekitar Kallang Basin.
Penonton dinasihatkan membataskan barangan peribadi yang dibawa bagi memudahkan pemeriksaan keselamatan, menurut polis pada 6 Ogos. Setiap pemegang tiket akan menerima Pek NDP yang mengandungi air minuman dan snek ringan.
Bekas yang boleh mengisi 100 mililiter (ml) atau lebih cecair, aerosol atau gel akan diperiksa dengan lebih teliti, manakala barangan dalam tin, termasuk minuman tin, tidak dibenarkan masuk.
Polis berkata tindakan akan diambil terhadap sesiapa yang cuba membawa masuk barangan larangan seperti senjata api, bunga api, buku lima (knuckle dusters) dan gari.
Kawasan sekitar Stadium Negara telah ditetapkan sebagai kawasan acara khas, termasuk satu zon khas bagi pemeriksaan keselamatan yang dipertingkat, menurut polis pada 1 Ogos.
Mereka yang memakai pelitup muka atau penutup muka perlu menanggalkannya buat sementara untuk pemeriksaan. Mereka yang tidak selesa berbuat demikian di tempat awam boleh memohon menjalani pemeriksaan di bilik khas.
Bagi mengelakkan kesesakan, polis dan anggota berseragam lain akan mengawal aliran orang ramai di kawasan seperti Stadium Riverside Walk, Tanjong Rhu dan persiaran Republic Avenue.
Kawasan berkenaan akan ditutup apabila jumlah pengunjung mencapai had keselamatan. Orang ramai diminta mematuhi arahan pegawai dan polis bertugas.
Pengunjung juga disaran menyemak peta Crowd@NationalStadium di https://go.gov.sg/crowd-at-national-stadium bagi memantau tahap kesesakan secara langsung dan kawasan yang ditutup. Peta itu disediakan pada Hari Kebangsaan dari 5 petang hingga 10.30 malam.
Stesen MRT Stadium, Tanjong Rhu dan Nicoll Highway dijangka sesak.
Orang ramai disaran menggunakan stesen MRT Kallang atau Mountbatten. Jika berlaku kesesakan, kereta api mungkin tidak berhenti di stesen terjejas buat sementara.
Laluan pejalan kaki di Merdeka Bridge dan Tanjong Rhu Bridge hanya untuk dilalui, dan orang ramai tidak dibenarkan berhenti atau berkumpul di situ. Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak berbasikal di sekitar Stadium Negara kerana dijangka sesak.
Orang ramai dinasihatkan sentiasa berwaspada dan menjaga barang peribadi masing-masing.
Beberapa jalan di Kallang Basin akan ditutup kepada kenderaan pada 9 Ogos dalam dua fasa.
Fasa pertama bermula 7 pagi dengan penutupan jalan di sekitar Stadium Negara dan Kallang Basin, manakala fasa kedua bermula 3 petang di Tanjong Rhu Place dan Tanjong Rhu View. Semua jalan dibuka semula pada 11 malam.
Hanya kenderaan yang dibenarkan dan kenderaan kecemasan boleh memasuki kawasan ditutup.
Kelewatan lalu lintas dijangka berlaku di Guillemard Road, Sims Way, Nicoll Highway, Mountbatten Road, Tanjong Rhu Road dan Stadium Boulevard.
Meletakkan atau menghentikan kenderaan di Nicoll Highway (Merdeka Bridge), Ekpreswe East Coast Parkway (ECP) (Benjamin Sheares Bridge) dan Tanjong Rhu untuk menyaksikan bunga api adalah dilarang, dan tindakan akan diambil terhadap pesalah.
Orang ramai disaran menggunakan pengangkutan awam. Kenderaan yang menghalang lalu lintas atau diletakkan secara haram akan ditunda.
Selepas perbarisan, pergerakan keluar dijangka perlahan dek jumlah individu di sekitar Stadium Negara. Orang ramai diminta bersabar dan mematuhi arahan pegawai serta polis bertugas.
Bagi pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi penganjur NDP di talian 1800-637-2026.
