Orang ramai dinasihatkan agar tidak terpedaya dengan kes penipuan melibatkan pihak yang menyamar sebagai wadah pelaburan iklim, GenZero.
Mereka digesa agar tidak berhubungan dengan pihak yang melakukan penipuan penyamaran itu, kata pihak berkuasa.
Diasaskan syarikat pelaburan negara, Temasek, GenZero ialah sebuah syarikat yang bertujuan mempercepat usaha menyahkarbon.
Satu makluman di laman sesawang Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) pada 23 Julai menyatakan beberapa orang telah menerima e-mel atau mesej teks yang menggalak mereka supaya membeli kredit karbon melalui satu aplikasi telefon bimbit.
Mereka turut menerima e-mel berasingan, dengan pautan pengesahan yang memaparkan logo Kementerian Kemampanan dan Sekitaran (MSE), Kementerian Pembangunan Negara (MND) dan NEA.
Selepas mendaftar di aplikasi tersebut, penerima e-mel atau mesej teks berkenaan akan diminta menaip maklumat perbankan peribadi mereka untuk membuat pembayaran bagi kredit karbon itu, lapor The Straits Times (ST).
“MSE, MND, dan NEA tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana aplikasi pembelian atau perdagangan kredit karbon sedemikian.
“GenZero juga telah mengesahkan ini adalah satu penipuan,” kata NEA.
Orang ramai dinasihatkan supaya berwaspada dan tidak berinteraksi dengan penipu tersebut, tambahnya.
Sepanjang 2023, penipuan pelaburan disenaraikan sebagai antara lima jenis penipuan tertinggi dengan 4,030 kes dilaporkan, ujar polis pada Mei.
Secara purata, setiap mangsa hilang sekitar $50,700.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg