Pengunjung yang menghadiri perlumbaan Formula 1 (F1) Singapore Airlines Grand Prix (GP) Singapura tidak akan dikenakan deposit 10 sen bagi pembelian minuman, berikutan pengecualian acara tersebut daripada Skim Pemulangan Bekas Minuman (BCRS).

Pengecualian itu diberikan kerana acara berkenaan berlangsung hanya beberapa hari selepas pelancaran penuh skim tersebut pada 1 Oktober, selain mengambil kira skala dan sifat perlumbaan itu sendiri, kata Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) pada 9 Oktober, sebagai respons kepada pertanyaan media.

Penganjur perlumbaan itu, Singapore GP, memaklumkan di laman webnya bahawa pengecualian ini merangkumi minuman yang dijual di dalam kawasan Taman Litar Jalan Raya Marina Bay.

“Pengunjung tidak akan dikenakan deposit 10 sen itu, dan mereka dikehendaki memasukkan botol minuman kosong ke dalam tong kitar semula yang disediakan di sekitar Taman Litar bagi tujuan kitar semula,” jelas NEA.

Singapore GP akan mengeluarkan pemberitahuan automatik (push notification) menerusi aplikasi mudah alih SGP yang berkaitan pada 9 Oktober untuk memaklumkan pengunjung mengenai aturan tersebut.

Notis juga akan dipaparkan di premis makanan dan minuman di dalam kawasan Taman Litar, kata NEA.

Perlumbaan GP Singapura akan berlangsung dari 9 hingga 11 Oktober di Litar Jalan Raya Marina Bay.

Di bawah skim BCRS, semua botol plastik dan tin logam bersaiz 150 mililiter (ml) hingga 3 liter harus mempunyai label tanda deposit 10 sen rasmi serta kod bar.

Pelanggan perlu membayar tambahan 10 sen bagi setiap minuman yang dibeli di bawah skim tersebut, tetapi akan mendapat semula wang itu apabila mereka memasukkan bekas terpakai ke dalam mesin pengumpulan yang dikenali sebagai ‘Return Right’.

Mulai 1 Oktober, menjadi satu kesalahan bagi mana-mana pihak – termasuk pengendali pasar raya – membekalkan sebarang minuman yang dikawal selia, sekiranya bekasnya tidak mempunyai label tanda deposit dan kod bar skim itu.

Di bawah Akta Kemampanan Sumber, mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan denda sehingga $10,000 dan/atau hukuman penjara sehingga tiga bulan.

Lebih 1,000 mesin tersebut mula beroperasi pada 1 April.

Namun, NEA – yang mengurus skim itu – memberi pengeluar dan peruncit tempoh enam bulan tambahan untuk menghabiskan stok lama sebelum fasa peralihan itu berakhir 30 September.

Dalam kemas kini pada 1 Oktober, NEA berkata skim itu telah mengumpul lebih 48 juta bekas minuman setakat 27 September. Ini bermakna lebih 823 tan bahan yang boleh dikitar semula terselamat daripada dibakar.