USAHA Singapura melancarkan Laluan Perjalanan bagi Orang yang Divaksin (VTL) tanpa memerlukan kuarantin dengan 11 negara di Amerika Utara, Eropah dan Asia baru-baru ini merupakan satu langkah permulaan.
Malah, Menteri Pengangkutan S Iswaran berkata negara ini ingin menjalankan lebih banyak usaha dengan semua rakan kerja.
"Kami berharap VTL ini boleh memainkan peranan membuka laluan bagi lebih banyak negara dan rantau kembali terhubung dengan selamat," ujarnya.
Encik Iswaran yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Hubungan Perdagangan berkata demikian semasa berucap di Sidang Peringkat Tinggi Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) berhubung Covid-19 kelmarin.
Sidang yang berlangsung dari kelmarin hingga 22 Oktober itu menerusi dalam talian menyatukan pemerintah dan industri dari seluruh dunia dan bertujuan mencapai persetujuan sejagat berhubung satu pendekatan berbilang hala untuk memastikan pemulihan sektor penerbangan antarabangsa daripada pandemik Covid-19 ini secara selamat dan berkesan.
Seramai 46 menteri pengangkutan dari pelbagai negara turut menyertai sesi pleno menteri di sidang itu, yang dipengerusikan oleh Presiden Majlis ICAO, Encik Salvatore Sciacchitano.
Di sesi perbincangan meja bundar pleno menteri berhubung usaha menerajui pemulihan sektor penerbangan, Encik Iswaran menekankan pentingnya bagi pemimpin pemerintah dan industri bekerjasama dalam semua bidang - termasuk dua hala, serantau dan berbilang hala - untuk membina semula keyakinan orang awam dan membuka semula sempadan dengan laluan udara tanpa kuarantin secara selamat.
Menggariskan pendekatan Singapura untuk bangkit lebih kukuh daripada pandemik Covid-19, Encik Iswaran menekankan bahawa Singapura telah mengambil pendekatan berdasarkan bukti dan disesuaikan mengikut risiko, dengan melancarkan VTL itu setelah 85 peratus penduduk setempat sudah divaksinasi sepenuhnya.
Malah, VTL yang dilancarkan bersama Korea Selatan adalah yang pertama antara dua hab penerbangan utama di Asia.
Lebih 2,000 orang telah diluluskan untuk memasuki Singapura di bawah VTL tanpa kuarantin selepas permohonan dibuka kelmarin bagi orang ramai dari lapan negara - Canada, Denmark, Perancis, Italy, Belanda, Sepanyol, Britain dan Amerika Syarikat.
Encik Iswaran turut menggesa negara bekerjasama, dengan sokongan ICAO dan industri, untuk membina semula sistem penerbangan sejagat yang lebih kukuh, selamat dan berdaya tahan.
Ini termasuk membina keupayaan bagi memenuhi permintaan yang boleh dijangkakan serta keupayaan penting seperti dalam bidang pendigitalan dan pengesahan sijil kesihatan.
"ICAO memainkan peranan penting dalam menghimpunkan negara untuk memupuk satu laluan menuju ke norma baru pasca pandemik," ujar Encik Iswaran.
ICAO adalah agensi khusus PBB, yang ditugaskan engan pembangunan penerbangan awam antarabangsa yang selamat dan tersusun.
Awal bulan ini, IATA berkata terdapat sedikit bukti untuk menyokong sekatan sempadan yang ketat sekarang.
Ia juga meramalkan permintaan pergerakan antarabangsa akan mencapai 44 peratus pada tahun depan, iaitu seganda berbanding tahun ini.
Menerusi satu kenyataan semalam, Kementerian Pengangkutan (MOT) berkata menteri yang menghadiri sidang itu turut berbincang tentang pelbagai dasar penerbangan awam dan isu kawal selia, termasuk kesan ekonomi dan keselamatan Covid-19 pada sektor penerbangan antarabangsa.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg