Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) akan menyaksikan peralihan kepimpinan pada Ogos, dengan Timbalan Pengerusi semasa, Encik Ng Chee Khern, dilantik sebagai Pengerusi baharunya mulai 1 Ogos.

Beliau akan menggantikan Encik Edmund Cheng, yang akan meletak jawatan selepas berkhidmat di CAAS selama lebih sembilan tahun.

Encik Cheng mengambil alih daripada Encik Lee Hsien Yang sebagai Pengerusi CAAS pada 2018, dan turut merupakan Timbalan Pengerusi dan Timbalan Pengarah Urusan Wing Tai Holdings, sebuah syarikat pemaju hartanah dan gaya hidup yang berpangkalan di Singapura.

Pelantikan itu dibuat oleh Pemangku Menteri Pengangkutan, Encik Jeffrey Siow, dan diumumkan secara bersama oleh Kementerian Pengangkutan (MOT) dan CAAS pada 15 Julai.

Encik Ng kini merupakan Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Iseas-Institut Yusof Ishak .

Beliau pernah memegang peranan kepimpinan utama dalam Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), Kementerian Pertahanan (Mindef), Kementerian Kesihatan (MOH), Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dan Kumpulan Negara Bijak dan Pemerintah Digital.

Encik Ng mengambil alih peranannya sebagai Timbalan Pengerusi CAAS pada 1 Januari 2026.

MOT dan CAAS menyatakan bahawa pengalaman kepimpinan Encik Ng yang luas akan “memberi manfaat besar kepada CAAS dalam usahanya mengukuhkan kedudukan Singapura sebagai hab penerbangan global”.

Pemergian Encik Cheng itu menandakan berakhirnya tempoh perkhidmatan yang penting bagi sektor penerbangan Singapura. Beliau kali pertama dilantik ke lembaga itu sebagai Timbalan Pengerusi pada Disember 2016, sebelum mengambil alih jawatan Pengerusi pada Julai 2018. 

Sepanjang tempoh perkhidmatannya, Encik Cheng mengemudi sektor itu mengharungi pandemik Covid-19 dan berjaya menyelia usaha membina semula hab penerbangan Changi.

Di bawah kepimpinannya, Lapangan Terbang Changi bangkit semula untuk mengendalikan jumlah rekod tertinggi hampir 70 juta pergerakan penumpang dan lebih dua juta tan kargo udara pada 2025.

Antara pencapaian utama di bawah kepengerusian Encik Cheng termasuk pembangunan Terminal 5 Lapangan Terbang Changi, Zon Perindustrian Changi East dan Daerah Bandar Changi East.

Beliau turut menyelia komitmen bernilai $1 bilion, yang diumumkan pada 2025, untuk mendorong perkongsian merentasi kesambungan, teknologi, prasarana dan tenaga kerja.

Encik Cheng turut merupakan Pengerusi CAAS ketika ia melancarkan Peta Transformasi Industri Pengangkutan Udara pada 2023 dan Pelan Induk Hab Udara Mampan Singapura pada 2024.

Baru-baru ini, beliau turut menubuhkan entiti khusus seperti Pusat Inovasi Penerbangan Antarabangsa (ICAI), Pusat Penerbangan Mampan Asia Pasifik dan Syarikat Bahan Api Penerbangan Mampan Singapura.

Pada 2025, Singapura dipilih semula ke Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) dengan bilangan undi rekod.