Kawasan Padang mempunyai warisan yang penting dan berpotensi dicalonkan sebagai tapak warisan dunia, menurut Penilaian Awal oleh Pusat Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).

Namun, beberapa langkah tambahan bagi merealisasikan pencalonan itu bakal menimbulkan cabaran besar terhadap perancangan dan pembangunan masa hadapan di kawasan tersebut, jelas Lembaga Warisan Negara (NHB) pada 3 November.

Demikian antara pertimbangan utama dalam keputusan Singapura untuk tidak mencalonkan kawasan sivik Padang untuk disertakan dalam Senarai Tapak Warisan Dunia Unesco, umum NHB.

Badan penasihat mengesyorkan agar Singapura mewujudkan zon penampan lebih luas berbanding rancangan asal, melindungi koridor pemandangan penting di Padang Civic Ensemble serta mengawal selia pembangunan masa depan di kawasan itu demi memelihara keutuhan sejarah dan warisannya.

Namun, NHB menjelaskan bahawa saranan tersebut akan mengenakan kekangan perancangan dan keperluan perundingan tambahan yang rumit.

Ia sekali gus boleh menyekat pembangunan pada masa depan, bukan sahaja di kawasan Padang berkenaan, bahkan menjangkau ke kawasan sekitarnya seperti Dhoby Ghaut, Hill Street dan Beach Road.

Dinamakan The Padang Civic Ensemble, kawasan itu merangkumi Padang dan deretan bangunan sivik di sekitarnya seperti Muzium Tamadun Asia, bekas Mahkamah Agung, Katedral St Andrew’s, Teater dan Dewan Konsert Victoria, Bangunan Parlimen Lama dan Fullerton Hotel.

Tapak berkenaan dimasukkan ke dalam senarai sementara Tapak Warisan Dunia Singapura pada Mac 2023, iaitu langkah pertama ke arah pencalonannya sebagai Tapak Warisan Dunia kedua Singapura ini selepas pencalonan Kebun Bunga Singapura.

Pada September 2023, NHB secara sukarela memohon untuk menjalani penilaian awal, yang belum diwajibkan bagi sebarang pencalonan Tapak Warisan Dunia sehingga 2027.

Sebagai sebahagian proses penilaian awal Unesco, Singapura bekerjasama dengan Pusat Warisan Dunia Unesco dan badan-badan penasihat untuk memahami dengan lebih mendalam potensi pencalonan tapak Padang, serta mengenal pasti kemungkinan cabaran sejak awal lagi sebelum membuat keputusan sama ada untuk meneruskannya.

Singapura menerima laporan penilaian tersebut pada akhir 2024.

Mengulas lanjut dalam satu kenyataan pada 3 November, NHB menyatakan penilaian awal tersebut mengiktiraf nilai sejarah di daerah Padang.

Ini termasuk peranan kawasan itu dalam peralihan Singapura daripada era penjajahan kepada negara merdeka, serta kepentingannya sebagai contoh dataran sivik zaman penjajahan British di kawasan Tropika.

Namun, ia mendedahkan beberapa cabaran besar.

Pengarah Divisyen Pemuliharaan Tapak dan Monumen NHB, Cik Jean Wee, berkata:

“Susulan Penilaian Awal tersebut, kami telah mempertimbangkan secara mendalam langkah-langkah tambahan yang disyorkan bagi tapak berkenaan yang mungkin menjejas rancangan masa depan bagi kawasan sivik, termasuk kesannya terhadap banyak bangunan sedia ada di daerah itu, menjangkau Monumen Negara yang sedia dilindungi.”

Lantas, keputusan ini mencerminkan kepentingan mengimbangi pemeliharaan warisan di kawasan sivik Padang dengan keperluan mengekalkan fleksibiliti bagi pembangunan masa depan di daerah sivik yang lebih luas, tambah NHB.

Antara saranan yang mempengaruhi pertimbangan itu ialah langkah meluaskan zon penampan.

Zon penampan merujuk kepada ruang di sekeliling tapak warisan yang dikenal pasti.

Semua Tapak Warisan Dunia mempunyai zon penampan di sekelilingnya sebagai lapisan perlindungan tambahan.

Ini merangkumi sekatan undang-undang terhadap penggunaan tanah dan pembangunan bagi memastikan, antara lain, sudut pandangan penting menuju dan dari tapak berkenaan kekal tidak terhalang.

“Melaksanakan beberapa langkah yang disyorkan oleh badan-badan penasihat ini akan memperkenalkan pertimbangan tambahan serta keperluan perundingan bagi perancangan dan pembangunan masa depan di seluruh kawasan sivik yang lebih luas, termasuk kawasan yang jauh melangkaui Padang,” jelas NHB.

Contohnya, Singapura perlu berunding dengan Unesco berhubung sebarang pembangunan yang boleh menjejaskan nilai kepentingan warisan tapak berkenaan.

“Ini boleh merangkumi kerja pengubahsuaian pada bangunan sedia ada, mahupun pelan baharu di kawasan sekitarnya yang menjejaskan sudut pandangan penting menuju dan dari Padang,” tambah NHB.

NHB menjelaskan bahawa langkah itu bermakna pelbagai bangunan bersendirian – termasuk premis swasta, komersial, pusat beli-belah, pejabat dan bangunan lain – yang terletak dalam zon penampan akan tertakluk kepada garis panduan dan kawal selia Unesco.

Ini bakal menjejas pemilik hartanah serta menyekat pembaharuan pada masa depan, tambah NHB.

Pada awalnya, lembaga itu mendapati beberapa pihak tersebut yang didekati menyatakan keterbukaan untuk menyokong langkah pencalonan tersebut.

Namun, NHB akhirnya akur bahawa peluasan zon penampan mendatangkan kekangan yang lebih berat terhadap rancangan masa depan di kawasan itu.

Kemudian, penilaian awal Unesco turut menyarankan Singapura memastikan pemandangan luas di sekitar kawasan sivik Padang dipelihara.

Pemandangan luas ini merangkumi persekitaran luas yang menyumbang kepada nilai tapak warisan dunia berkenaan. Tiada garis sempadan yang tetap bagi kawasan persekitaran yang lebih luas

Ini bermakna latar belakang bangunan yang kelihatan dari Padang seperti Raffles Place dan City Hall akan tertakluk kepada kekangan tambahan oleh Unesco, jelas NHB.

Keadaan ini berpotensi menyekat perubahan kepada bangunan sedia ada mahupun projek baharu pada masa depan, termasuk di kawasan yang jauh di luar zon penampan tetapi masih berada dalam pemandangan Padang.

Sebelum membuat keputusan, NHB telah mengkaji beberapa contoh kekangan yang boleh timbul daripada keperluan Unesco di negara lain:

Liverpool Maritime Mercantile City, Britain

  1. Dicalonkan sebagai Tapak Warisan Dunia pada 2004
  2. Dikeluarkan daripada senarai itu pada 2021
  3. Projek pembangunan baharu di dalam tapak warisan dan zon penampan didapati menjejas nilai asal tapak warisan

Keramat Jongmyo, Korea Selatan

  1. Bangunan tinggi di luar zon penampan Keramat Jongmyo dihalang oleh Unesco pada November 2025
  2. Unesco gesa pemerintah Seoul untuk menggantung persetujuan pembinaan
  3. Unesco risau bangunan itu akan jejas pemandangan dari tapak Jongmyo

Old Town di Regensburg, Jerman

  1. Bangunan yang dirancang untuk dibina 1.5 kilometer dari zon penampan perlu diubahsuai
  2. Unesco risau bangunan tersebut akan jejas pemandangan tapak warisan tersebut

Kini, kawasan sivik Padang akan dikeluarkan daripada senarai sementara.

NHB memberi jaminan bahawa status Padang dan beberapa bangunan di kawasan sivik itu sebagai Monumen Negara akan kekal terpelihara dengan perlindungan tahap tertinggi di bawah Akta Pemeliharaan Monumen.

Pada masa ini, NHB, bersama Lembaga Taman Negara (NParks), akan memberi tumpuan kepada pengurusan Kebun Bunga Singapura.

NHB akan turut meneruskan usaha dalam mengiktirafkan warisan tidak ketara, seperti budaya penjaja dan Kebaya yang didaftarkan dalam Senarai Warisan Budaya Tidak Ketara (ICH) Kemanusiaan Unesco.

Kini, budaya perarakan Chingay dan tarian Zapin dalam proses penilaian bagi senarai tersebut.