Topik diikuti
Pergi ke BHkuNiaga F&B orak langkah tambah cawangan di dalam, luar negara
Niaga F&B orak langkah tambah cawangan di dalam, luar negara
Ini sedang sektor F&B mula bangkit susulan sekatan Covid-19 yang telah dilonggar dan ekon SG mula pulih
Niaga F&B orak langkah tambah cawangan di dalam, luar negara
DENGAN ekonomi mula pulih sedang Singapura melonggarkan langkah Covid-19, syarikat makanan dan minuman (F&B) halal di sini giat menjalankan rancangan untuk mengembangkan perniagaan mereka untuk merebut peluang baru di dalam dan luar negara.
Misalnya, Malayan Council Group bakal membuka dua restoran baru di kawasan Marina Bay manakala jenama kek dan pastri Bakes by NY pula membuka kedai ketiga mereka di Sultan Gate pada tahun lalu.
Sementara itu, perniagaan seperti restoran Padi@Bussorah pula menebarkan sayap di luar negara, dengan mereka akan membuka dua restoran - Padi D'NYC dan Mamak's Corner - di New York, Amerika Syarikat.
Naib Presiden Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS), Cik Fadilah Majid, berkata bahawa secara anekdot, DPPMS telah melihat kenaikan dalam jumlah perniagaan F&B yang memperluaskan perniagaan mereka di sini.
Beliau menambah bahawa dalam DPPMS, terdapat enam anggota mereka yang telah membuka cawangan atau kedai baru.
"Pandemik telah mengukuhkan kepercayaan bahawa F&B pada dasarnya merupakan perniagaan kalis kemelesetan kerana masih terdapat permintaan tinggi bagi makanan, dengan hanya kaedah mendapatkan makanan telah berubah semasa Covid-19.
"Di samping itu, dengan kemudahan yang boleh membantu perniagaan F&B melalui kemelesetan (seperti platform teknologi penghantaran makanan) dan juga perkembangan prasarana lain seperti dapur awan, ini telah menggalak lebih ramai untuk memasuki industri ini," kata beliau.
Cik Fadilah bagaimanapun menambah bahawa syarikat F&B yang ingin mengembang perniagaan mempunyai keprihatinan seperti langkah pengurusan selamat yang mungkin berubah mengikut keadaan semasa, isu tenaga kerja dan status rantaian bekalan bagi bahan-bahan mentah.
DPPMS menggalak perniagaan untuk memastikan mereka telah melakukan penilaian menyeluruh tentang risiko dan senario yang boleh berlaku dalam mereka mengembangkan perniagaan.
"Dewan juga menggalak syarikat F&B bekerjasama dengan kami dalam mengenal pasti wadah yang boleh mempermudahkan pengembangan melalui penggunaan geran atau menyertai program bagi memudahkan pengembangan ke luar negara," kata Cik Fadilah.
Antara mereka yang memperluaskan perniagaan baru-baru ini ialah pemilik Bakes by NY, Encik Muhammad Khairul Anwar Abdul Hadi, yang membuka kedai ketiga di Sultan Gate di kawasan Kampong Glam.
Encik Khairul berkata beliau memilih lokasi Kampong Glam itu kerana mahu "memperbaharui sedikit jenama" mereka dan menarik lebih ramai pelanggan muda.
Encik Mohamad Hafiz Salim al-Khatib, pengerusi Malayan Council Group, yang mengendalikan rangkaian restoran The Malayan Council dan The Fortune Cookie, pula akan membuka restoran baru di Esplanade dan One Fullerton.
"Kami mahu membuka restoran di kawasan Marina Bay ini kerana antara maklum balas yang kami terima daripada mereka yang bekerja di sana adalah tidak terdapat pilihan makanan halal yang mencukupi di situ," kata beliau.
"Pandemik telah mengukuhkan kepercayaan bahawa F&B pada dasarnya merupakan perniagaan kalis kemelesetan kerana masih terdapat permintaan tinggi bagi makanan, dengan hanya kaedah mendapatkan makanan telah berubah semasa Covid-19. Di samping itu, dengan kemudahan yang boleh membantu perniagaan F&B melalui kemelesetan (seperti platform teknologi penghantaran makanan) dan juga perkembangan prasarana lain seperti dapur awan, ini telah menggalak lebih ramai untuk memasuki industri ini." - Naib Presiden Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS), Cik Fadilah Majid.
