BERSIKAP konsisten, mengekalkan kestabilan serta membangun perpaduan dan tahap kepercayaan tinggi adalah antara cara Singapura mengemudi cabaran dasar luar dalam dunia yang berbahaya, kata Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) kementeriannya pada Isnin.
Dr Balakrishnan berkata Singapura kini berhadapan tempoh persaingan kuasa besar yang sengit, gangguan ekonomi global, dan perubahan iklim dalam dunia yang semakin berpecah dan bergolak.
"Singapura mesti mendekati cabaran-cabaran ini secara realistik dan keyakinan yang tenang," ujarnya.
Dr Balakrishnan menambah bahawa Singapura mempunyai kekuatan ketara sebagai salah sebuah negara yang perpaduannya semakin kukuh selepas pandemik Covd-19.
"Ada minat kuat daripada perniagaan, pelabur, dan usahawan untuk datang ke Singapura. Mereka mengenal pasti dan menghargai kestabilan serta cara Singapura menguruskan hal ehwal dalam dan luar negara secara konsisten," kata beliau.
Sebagai respons kepada soalan Encik Henry Kwek (SMC Kebun Baru) mengenai bagaimana dasar luar negara Singapura harus disesuaikan dengan trend yang berkembang, Dr Balakrishnan menggariskan empat perkara utama.
Ini termasuk kesepaduan serta mempunyai pemahaman jelas tentang kepentingan Singapura pada jangka panjang dan kelemahan dalam dunia yang tidak menentu.
"Kita akan mendukung prinsip bahawa semua negara besar atau kecil harus mempunyai kedaulatan, kemerdekaan, dan integriti wilayah mereka dihormati sepenuhnya dan kita tidak akan memilih pihak," kata beliau, yang memberi contoh kedudukan berprinsip Singapura mengenai pencerobohan Russia ke atas Ukraine.
Dr Balakrishnan juga menekankan pentingnya Singapura meneruskan usaha yang sama dengan seberapa banyak negara dan sentiasa mendukung kedaulatan undang-undang antarabangsa serta penyelesaian pertikaian secara aman.
Menjawab soalan mengenai kesan hubungan Amerika Syarikat dan China yang kompleks, beliau berkata Singapura tidak boleh melarikan diri daripada limpahanan kesan hubungan itu.
"Ekonomi terbuka kita amat bergantung pada menjalankan perniagaan dengan dunia, dan kita telah mendapat manfaat besar daripada menjadi nod penting dalam rantaian bekalan global.
"Amerika adalah pelabur asing terbesar di Singapura dan rakan perdagangan utama kita dalam bidang perkhidmatan. Tetapi kita juga adalah salah satu pelabur terbesar di China, yang merupakan rakan perdagangan utama Singapura," ujarnya.
Dalam ucapannya, Dr Balakrishnan juga berkata Singapura akan terus memperkukuh hubungan dengan jiran terdekatnya seperti Malaysia, Indonesia dan Brunei.
Menyentuh tentang Malaysia, beliau berkata hubungan Singapura dengan Malaysia disokong oleh hubungan antara rakyat yang kukuh dan pertukaran kerap di peringkat tinggi.
Namun, seperti semua persahabatan, masalah akan timbul dari masa ke masa, kata beliau.
Dr Balakrishanan memberi contoh isu Pedra Branca, di mana Malaysia menimbulkan bantahan mengenai kerja pembangunan Singapura di pulau itu walaupun ia telah dihuraikan secara muktamad sebelumnya.
Menurutnya, kerja itu diperlukan untuk meningkatkan keselamatan maritim dan bagi meningkatkan keupayaan mencari dan menyelamat di kawasan tersebut serta memastikan Pedra Branca dilindungi secukupnya daripada ancaman kenaikan paras laut.
"Biar saya yakinkan anda bahawa kerja pembangunan itu mengikut sepenuhnya undang-undang antarabangsa dan kedaulatan Singapura ke atas pulau itu dan perairannya," ujar Dr Balakrishnan.
Berhubung Asean, beliau mengatakan Singapura akan menyokong matlamat Indonesia hendak meningkatkan integrasi Asean dalam bidang seperti ekonomi hijau dan integrasi digital.
Beliau berkata ada keperluan untuk kesepakatan dalam Asean tetapi terdapat kepelbagaian besar di dalamnya.
Namun, Piagam Asean memperuntuk keputusan yang dibuat di peringkat pemimpin, walaupun terdapat "masalah politik mendalam" di negara anggota.
"Sebagai contoh, kita tidak membenarkan rampasan kuasa di Myanmar melumpuhkan Asean atau menjadikan yang lain sebagai tebusan," kata Dr Vivian.
Menyentuh tentang peranan Asean dan masa depan Myanmar, beliau menarik perhatian bahawa keadaan masih kelihatan muram setelah dua tahun rampasan kuasa berlaku di Myanmar, dan Singapura serta Awean amat kecewa mengenai kekurangan kemajuan di negara itu.
"Kami tidak akan campur tangan dalam politik domestik di Myanmar. Tetapi penyelesaian akhirnya mesti melibatkan perdamaian nasional dalam kalangan semua pihak berkepentingan domestik. Ini tidak mudah dicapai," ujar Dr Balakrishnan.
"Kita akan mendukung prinsip bahawa semua negara besar atau kecil harus mempunyai kedaulatan, kemerdekaan, dan integriti wilayah mereka dihormati sepenuhnya dan kita tidak akan memilih pihak... Ekonomi terbuka kita amat bergantung pada menjalankan perniagaan dengan dunia, dan kita telah mendapat manfaat besar daripada menjadi nod penting dalam rantaian bekalan global. Amerika adalah pelabur asing terbesar di Singapura dan rakan perdagangan utama kita dalam bidang perkhidmatan. Tetapi kita juga adalah salah satu pelabur terbesar di China, yang merupakan rakan perdagangan utama Singapura." - Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg