SETIAUSAHA Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim, menggalak ibu bapa menganggap tempoh pemutus rantaian jangkitan sebagai peluang untuk menikmati pembelajaran bersama di rumah dengan seluruh keluarga.
Dalam tempoh itu, pelajar tidak ke sekolah dan perlu menjalani pembelajaran dari rumah (HBL). "Gunakan tempoh ini untuk berhubung dan menjalin ikatan dengan anak-anak anda secara emosi. HBL tidak terhad kepada kelas secara langsung atau tugasan dalam talian - pembelajaran boleh juga dijalankan dengan membaca, melakukan kraf ataupun menari bersama.
"Adalah penting untuk kita kekal kreatif dan positif supaya kita dapat keluar daripada pemutus rantaian jangkitan ini dengan berdaya tahan dan lebih rapat," kata Dr Faishal menerusi laman Facebook beliau hari ini (28 April).
Dalam catatan itu, Dr Faishal turut merakam penghargaan kepada ibu bapa yang telah menyertai e-Brunch dengan Mendaki di Facebook Live Sabtu lalu. Dr Faishal menambah, respons positif yang diterima di sesi itu menunjukkan bagaimana ibu bapa sedang melakukan yang terbaik mungkin untuk menyokong anak-anak mereka di rumah semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan ini.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg