Pada hari biasa, Encik Muhammad Sufi Rohaizad sibuk menjalankan tugasnya sebagai ketua bahagian media di Global Ehsan Relief, sebuah pertubuhan kemanusiaan.

Namun, di luar waktu kerja, beliau menyarung pakaian tradisional Melayu lengkap dengan tanjak serta memegang busur dan anak panah, sebagai atlet memanah tradisional yang mewakili Singapura di persada antarabangsa.

Beliau merupakan salah seorang daripada 11 wakil Singapura yang menyertai Sukan Nomadik Dunia 2026 di Kyrgyzstan pada 31 Ogos hingga 6 September.

Mereka merupakan antara 3,000 peserta dari 109 negara yang bertanding untuk merebut pingat bagi negara mereka.

Bagaimanapun, bagi Encik Sufi, penglibatannya dalam sukan memanah tradisional sejak sekitar 2019 bukan sekadar membuka peluang untuk beraksi di pentas antarabangsa, malah turut membentuk keperibadiannya.

Encik Sufi menyarung pakaian tradisional Melayu lengkap dengan tanjak serta memegang busur dan anak panah, sebagai atlet memanah tradisional yang mewakili Singapura di persada antarabangsa.
Encik Sufi menyarung pakaian tradisional Melayu lengkap dengan tanjak serta memegang busur dan anak panah, sebagai atlet memanah tradisional yang mewakili Singapura di persada antarabangsa. - Foto ihsan MUHAMMAD SUFI ROHAIZAD

Encik Sufi berkata sebelum ini, beliau merupakan seorang ‘perfectionist’ yang mementingkan kesempurnaan dalam setiap perkara.

Namun, kini beliau lebih terbuka menerima kesilapan, termasuk ketika menguruskan pasukannya di tempat kerja.

“Sebelum ini saya seorang yang kurang fleksibel dengan semua perkara yang saya lakukan.

“Sekiranya ada sesuatu yang tidak kena atau tidak mengikuti rancangan saya, saya akan rasa geram kepada diri sendiri.

“Namun, sejak saya mula menceburi sukan memanah, saya rasa sukan itu telah membantu saya belajar untuk menjadi lebih tenang dan menumpukan perhatian kepada perkara yang saya sendiri boleh kawal,” jelas Encik Sufi, 36 tahun.

Beliau berkongsi demikian dalam podcast NoTapis terbitan Berita Harian (BH) bersama dua lagi peserta temasya tersebut iaitu pemanah tradisional, Cik Noor Zayanah Hamis, dan atlet ‘strongman’, Encik Ahmad Taufiq Muhammad.

Menurut Encik Sufi, antara pengajaran paling bermakna yang diperolehnya adalah daripada jurulatihnya dari Pemanah Tradisional Singapura, Encik Mohammad Alfyan Ariff Bahari.

Jurulatihnya itu sering mengingatkannya supaya tidak terlalu memikirkan tentang kesilapan yang dilakukan ketika memanah.

Pada peringkat awal, beliau mudah berasa kecewa apabila anak panah yang dilepaskan tidak mengena sasaran.

Namun, lama-kelamaan, beliau memahami bahawa perkara lebih penting bukan kesilapan yang telah dilakukan, sebaliknya bagaimana seseorang dapat mengenal pasti puncanya dan membaiki diri.

Pengajaran itu turut diterapkannya dalam pekerjaan, khususnya ketika menguruskan anggota pasukannya.

“Berkat sukan memanah, saya kini lebih mampu mengawal diri, sekali gus membantu saya menguruskan kakitangan dengan lebih baik di tempat kerja.

“Ini dapat meningkatkan lagi kedudukan diri saya dalam dunia korporat,” katanya.

Sementara itu, Cik Zayanah, yang bekerja sebagai penyelidik bioperubatan, mula meminati sukan memanah ketika menceburi sukan tersebut di maktab rendah.

Minat tersebut kembali mekar selepas beliau terlihat poster pertandingan memanah tradisional di media sosial.

“Saya tertarik kepada pertandingan tempatan itu kerana mereka semua memakai pakaian tradisional, baju Melayu dan bertanjak.

“Itu perkara yang saya tidak pernah nampak,” kata Cik Zayanah, 32 tahun.

Cik Zayanah Hamis (kiri), pemanah tradisional Singapura bersama atlet antarabangsa lain.
Cik Zayanah Hamis (kiri), pemanah tradisional Singapura bersama atlet antarabangsa lain. - Foto MUHAMMAD SUFI ROHAIZAD

Beliau turut melihat persamaan antara tugasnya di makmal dengan latihan memanah, khususnya dari segi mencatat dan menilai keberkesanan pelbagai teknik bagi mendapatkan hasil yang lebih baik.

“Kalau dalam memanah kita ada simpan jurnal latihan.

“Kita catat apa yang kita lakukan untuk mengenal pasti apa yang kita buat betul atau salah, supaya kita dapat ubah cara memanah,” jelasnya.

Bagi Encik Taufiq, 45 tahun, penyertaannya dalam Sukan Nomadik Dunia hadir ketika beliau pernah terfikir untuk bersara daripada pertandingan ‘strongman’.

‘Strongman’ ialah acara sukan yang menguji kekuatan fizikal dan daya tahan atlet dengan objek berat.

“Emak saya pernah bercakap kepada saya, awak sudah berusia 40-an, dah menang banyak pertandingan.

“Namun, setiap kali saya pergi bertanding, beliau akan tanya sekiranya saya menang atau tidak,” kata Encik Taufiq. sambil ketawa.

“Jadi, apabila menerima pelawaan untuk menyertai temasya tersebut, saya berpendapat tiada salahnya mencuba nasib dalam satu lagi pertandingan,” jelas ahli terapi keluarga itu.

Encik Ahmad Taufiq Muhammad melambai bendera Singapura di Acara pembukaan Sukan Nomadik Dunia 2026
Encik Ahmad Taufiq Muhammad melambai bendera Singapura di Acara pembukaan Sukan Nomadik Dunia 2026 - Foto ihsan AHMAD TAUFIQ MUHAMMAD

Mengulas pengalamannya sepanjang temasya tersebut, ia mengingatkannya tentang kepentingan mempunyai minat di luar pekerjaan kerana ia dapat membawa kegembiraan dalam kehidupan.

Encik Taufiq turut menggalakkan orang ramai supaya tidak terlalu memikirkan pandangan orang lain apabila ingin mencuba sesuatu yang diminati.

“Pada akhirnya, yang penting ialah anda berasa gembira dengan apa yang dilakukan.

“Itulah perkara yang paling penting,” katanya.

Diri jadi lebih tenang

“

“Berkat sukan memanah, saya kini lebih mampu mengawal diri, sekali gus membantu saya menguruskan kakitangan dengan lebih baik di tempat kerja. Ini dapat meningkatkan lagi kedudukan diri saya dalam dunia korporat.”
Encik Muhammad Sufi Rohaizad, ketua bahagian media di Global Ehsan Relief.
Belajar daripada kesilapan

“

“Kalau dalam memanah kita ada simpan jurnal latihan. Kita catat apa yang kita lakukan untuk mengenal pasti apa yang kita buat betul atau salah, supaya kita dapat ubah cara memanah.”
Cik Noor Zayanah Hamis, penyelidik bioperubatan.
Galak ceburi minat luar daripada pekerjaan

“

“Pada akhirnya, yang penting ialah anda berasa gembira dengan apa yang dilakukan. Itulah perkara yang paling penting.”
Encik Ahmad Taufiq Muhammad, ahli terapi keluarga.