Topic followed successfully
Go to BHkuNisbah zakat Fitrah Ramadan 2023
Nisbah zakat Fitrah Ramadan 2023
Nisbah zakat Fitrah Ramadan 2023
NISBAH Zakat Fitrah Ramadan 2023 adalah $5.00 seorang bagi kadar biasa dan S$7.70 seorang bagi kadar lebih tinggi. Demikian adalah perubahan kecil berjumlah 10 sen bagi kedua-dua kadar itu berbanding nisbah 2022, umum Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dalam kenyataannya malam Rabu. Nisbah Zakat Fitrah pada 2022 adalah $5.10 dan $7.60 setiap orang bagi kadar rendah dan tinggi masing-masing. Muis berkata, berdasarkan ramalan perkembangan ekonomi yang lebih lembap pada 2023 dan kos ditanggung pengguna semakin naik, Muis telah memantau harga beras di Singapura dengan lebih teliti sejak beberapa bulan lalu. Nisbah Zakat Fitrah ditetapkan Jawatankuasa Fitrah Muis adalah berdasarkan makanan asas masyarakat Singapura iaitu beras, dan ia berlandaskan harga purata setiap gred beras - sama ada gred biasa atau gred tinggi seperti beras coklat atau beras basmati - seberat 2.30 kilogram. "Penilaian kami menunjukkan bahawa terdapat kemerosotan kecil bagi harga beras gred biasa dan peningkatan kecil gred beras tinggi," kata Muis. Muis juga mengingatkan masyarakat Muslim di sini bahawa Zakat Fitrah adalah satu kewajiban bagi semua orang Muslim dalam bulan Ramadan. Ia menggesa orang ramai supaya melakukan zakat menerusi cara dalam talian atau dengan Pusat Layan diri SalamSG di 16 masjid di sini dengan menggunakan kad debit mereka. Pembayar zakat boleh membuat pendaftaran akaun menerusi Singpass dalam laman ZakatSG dan pusat layan diri SalamSG. Laman ZakatSG juga telah dipertingkat bagi memudahkan pembayaran dan penghitungan zakat bagi pengguna. Dalam pada itu, Muis memberi amaran agar pembayar zakat kekal berwaspada terhadap isu penipuan. Ini termasuk mengakses hanya laman sah dan terjamin Zakat Singapura dan mengenal pasti kaedah komunikasi Zakat Singapura yang sah. Orang ramai juga perlu peka melindungi akaun zakat mereka yang dibuka dalam talian terebut serta mengenal pasti dan mencegah diri daripada segala percubaan penipuan dan pancingan data.


