Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

NLB dapat dana $2.3j ubah suai galeri, pemerolehan koleksi sejarah

Jan 27, 2025 | 8:26 PM
Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo (tengah, berdiri), bersama (dari kiri) Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Perpustakaan Negara (NLB), Encik Ng Cher Pong; dan ahli Jawatankuasa Penasihat Dana Amanah Tun Tan Cheng Lock, Encik Peter Lee, semasa majlis menandatangani perjanjian dana di Bangunan Perpustakaan Negara pada 27 Januari 2025. Mereka menyaksikan perjanjian dana itu ditandatangani (dari kiri) Ketua Perbankan Swasta Global, Asia Selatan, Pengarah Eksekutif HSBC Trustee (Singapore) Limited, Encik Tommy Leung, sebagai Pemegang Amanah Dana Amanah Tun Tan Cheng Lock; Ketua Amanah dan Perkhidmatan Fidusiari, Asia Tenggara, HSBC, Cik Sharnika Silva; dan Pengarah Perpustakaan NLB, Cik Alicia Yeo.
Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo (tengah, berdiri), bersama (dari kiri) Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Perpustakaan Negara (NLB), Encik Ng Cher Pong; dan ahli Jawatankuasa Penasihat Dana Amanah Tun Tan Cheng Lock, Encik Peter Lee, semasa majlis menandatangani perjanjian dana di Bangunan Perpustakaan Negara pada 27 Januari 2025. Mereka menyaksikan perjanjian dana itu ditandatangani (dari kiri) Ketua Perbankan Swasta Global, Asia Selatan, Pengarah Eksekutif HSBC Trustee (Singapore) Limited, Encik Tommy Leung, sebagai Pemegang Amanah Dana Amanah Tun Tan Cheng Lock; Ketua Amanah dan Perkhidmatan Fidusiari, Asia Tenggara, HSBC, Cik Sharnika Silva; dan Pengarah Perpustakaan NLB, Cik Alicia Yeo. - Foto ST

Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) akan menerima sumbangan besar daripada Dana Amanah Tun Tan Cheng Lock untuk mengubah suai Galeri Koleksi Bahan-Bahan Nadir dan memperolehi koleksi tiket pengirim dan label tekstil yang jarang ditemui dari 1800-an.

Dana berjumlah $2.3 juta itu akan membolehkan galeri itu dipertingkatkan empat kali ganda saiz daripada 32 meter persegi kepada 140 meter persegi dan dipindahkan ke tingkat satu Bangunan Perpustakaan Negara untuk memudahkan akses pengunjung.

Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo, menyaksikan majlis menandatangani perjanjian dana itu pada 27 Januari 2025 di Bangunan Perpustakaan Negara.

Kini berada di tingkat 13 bangunan tersebut, galeri yang diperbaharui itu akan menampilkan koleksi bahan-bahan nadir mengenai Singapura dan rantau ini daripada NLB dan Arkib Negara, serta digabungkan dengan kandungan digital interaktif untuk memberikan pengalaman pelbagai modal.

Sebagai sebahagian daripada sumbangannya, Dana Amanah Tun Tan Cheng Lock turut menyokong pemerolehan koleksi tiket pengirim dan label tekstil yang sering digunakan dalam pengeksportan barangan sejak 1800-an.

“Koleksi unik ini mempamerkan perdagangan kain global dan kedudukan Singapura sebagai pusat perdagangan pada awal abad ke-19 dan ke-20, dan akan menjadi sumber kaya bagi penyelidik yang mengkaji hubungan perdagangan dan maritim sejarah,” ujar Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) dalam satu kenyataan media pada 27 Januari 2025.

Dalam menerima dana tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif NLB, Encik Ng Cher Pong, berbesar hati atas sumbangan yang diberi dan menganggapnya sebagai “hadiah ulang tahun awal”.

“Dengan derma yang murah hati ini, kami dapat membina Galeri Koleksi Bahan-Bahan Nadir yang baru untuk menceritakan kisah Singapura melalui perkongsian bahan-bahan yang paling berharga dari Perpustakaan Negara dan Arkib Negara, dua institusi sumber sejarah negara kita.

“Derma ini, menjelang ulang tahun ke-30 NLB pada September, juga merupakan hadiah kepada negara ketika kita menyambut 60 tahun kemerdekaan tahun ini,” ujar beliau.

Dana Amanah itu diuruskan oleh HSBC Trustee (Singapore) Limited dan ditubuhkan sebagai mengenang jasa mendiang Tun Tan Cheng Lock.

Merujuk kepada koleksi disokong Dana Amanah itu, Encik Peter Lee, cucu saudara mendiang dan juga penasihat Dana Amanah tersebut, berkongsi bahawa ruang galeri baru itu akan meningkatkan aksesibiliti dan kesedaran terhadap koleksi nadir NLB dalam menonjolkan peranan Singapura dalam sejarah tersebut.

Pembaharuan galeri tersebut, yang dijangka siap pada 2027, adalah sebahagian daripada usaha NLB untuk memelihara dan mempamerkan warisan negara dalam menyambut ulang tahun Singapura yang ke-60 dan ulang tahun ke-30 NLB.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg