Langkah terkini menghentikan semua khidmat tidak penting dalam usaha pemerintah menyekat penularan wabak Covid-19 telah menyebabkan ramai peniaga kereta terpaksa menutup bilik pameran. Pada masa sama, ia mendorong banyak peniaga kereta agar tidak terus berpeluk tubuh dan mengambil pendekatan baru demi untuk penakatan selama sebulan ini. #pasaran meninjau usaha dijalankan dua syarikat.
PENULARAN wabak Covid-19 mungkin meninggalkan kesan ekonomi paling teruk ke atas perniagaan sepanjang lebih 30 tahun beliau berniaga, kata Encik Mohamed Taifoor Mohamed.
Bagaimanapun pemilik syarikat kereta Mohamed Taifoor Motoring (MTM) itu enggan duduk diam dan berpeluk tubuh, sebaliknya mahu berusaha memikirkan strategi di luar kotak demi penakatan.
Ini meskipun bilik pamerannya di Joo Chiat Road itu terpaksa ditutup selama sebulan di bawah langkah baru pemerintah yang mengarahkan semua khidmat tidak penting, agar ditutup.
Ini sebabnya syarikat itu akan menggiatkan khidmat dalam talian, khususnya bagi mereka yang ingin skrap kereta dan melanjutkan COE mereka di samping talian hotline 24 jam semasa tempoh ini.
Setelah tempoh penutupan ini berakhir, syarikat itu akan mula menawarkan khidmat di keselesaan rumah pelanggan sendiri.
Menerangkan tentang khidmat talian hotline 24 jam, Encik Mohamed Taifoor berkata sebelum ini waktu operasi pejabat dan bilik pamerannya adalah dari 9 pagi hingga 6 petang.
Tetapi disebabkan penutupan pejabat dan bilik pamerannya, keperluan pelanggan terutama pelanggan tetap, harus terus dipenuhi jika bertepatan dan mematuhi peraturan sekarang.
"Kini lebih ramai orang di rumah dan tidak keluar, jadi mungkin mereka juga mempunyai lebih banyak masa untuk mengambil tahu tentang proses jual beli kereta manakala ada juga yang mungkin ingin kedudukan kewangan dan nasihat dari kami," ujar beliau.
Orang ramai boleh hubungi talian 'hotline' 24 jam MTM di 6348-8826.
Selain itu, khidmat dalam talian ditawarkan kepada pelanggan akan dipergiatkan sepanjang tempoh ini.
"Ini pendekatan yang relevan memandangkan kami tidak boleh bertemu pelanggan dan bersemuka dengan orang awam.
"Selama ini, memang kami sudah tawarkan khidmat menerusi laman web kami, namun dalam tempoh ini, kami akan berikan tumpuan kepada mereka yang mahu skrap kereta atau lanjutkan COE kereta sebab ini lebih bersesuaian dengan keadaan sekarang," tambahnya.
Mengenai rancangan lebih lanjut selepas tempoh larangan berakhir, Encik Mohamed Taifoor berkata khidmat ke rumah akan diperkenalkan dengan lebih aktif.
"Sebenarnya, beberapa minggu sebelum larangan dikenakan, kami telah mempromosikan khidmat ke rumah pelanggan tanpa mereka perlu ke bilik pameran kami sebab pada tempoh ini ramai khuatir untuk keluar ke tempat-tempat awam tanpa keperluan mendesak," jelasnya.
Encik Mohamed Taifoor berkata pendekatan ini relevan lebih-lebih lagi dalam susana niaga hari ini di samping dapat menambah nilai apabila melayan pelanggan di rumah mereka.
"Lazimnya, pelanggan malu-malu atau segan untuk bertanya banyak soalan semasa di bilik pameran jadi dengan cara ini, ia lebih baik kerana mereka lebih terbuka untuk bertanya.
"Malahan, mereka akan bersama anggota keluarga lain jadi lebih banyak soalan yang akan diajukan dan pada masa sama, mereka sekeluarga juga boleh mendapatkan maklumat tentang jual beli kereta," jelas beliau.
Dalam pada itu, menyentuh tentang kesan Covid-19 ke atas perniagaannya sejauh ini, Encik Mohamed Taifoor akui bahawa impaknya amat besar.
Penjualan syarikatnya - yang merupakan syarikat milik Melayu/Islam sepenuhnya di pasaran setempat - sudah terjejas sebanyak 80 peratus.
"Sebenarnya sebelum wabak ini, perniagaan sudah terjejas teruk kerana pasaran kereta lemah.
"Bila berlaku penularan, kesannya berganda dan keadaan menjadi lebih genting. Kalau dahulu dalam sehari kami boleh terima lima hingga enam pelanggan tetapi sekarang, jumlah pelanggan itu diterima dalam masa seminggu," kata Encik Mohamed Taifoor.
Lantaran itu, sekiranya keadaan serupa berterusan untuk lagi dua atau tiga bulan, makanya beliau perlu mengaturkan semula model perniagaannya.
"Kami tidak menolak kemungkinan untuk mengecilkan perniagaan dan memotong gaji para pekerja manakala pilihan terakhir kami adalah menutup bilik pameran dan bekerja dari rumah," terang beliau yang menggajikan enam pekerja.
Apa yang penting untuk para peniaga sepertinya sekarang ialah agar meneliti semula model perniagaan dan berwaspada dalam perbelanjaan.
"Kami perhatikan pembelian kereta tidak serancak dan tidak mungkin serancak seperti dahulu, sebab lebih ramai yang akan kehilangan pekerjaan mahupun pendapatan.
"Maka, pembelian barangan mewah seperti kereta tidak lagi menjadi keutamaan," tambah Encik Mohamed Taifoor yang syarikatnya adalah satu-satunya diluluskan menawarkan pinjaman kereta berlandaskan syariah.
ANTARA STRATEGI
''Ini pendekatan (khidmat dalam talian) yang relevan memandangkan kami tidak boleh bertemu pelanggan dan bersemuka dengan orang awam. Selama ini, memang kami sudah tawarkan khidmat menerusi laman web kami, namun dalam tempoh ini, kami akan berikan tumpuan kepada mereka yang mahu skrap kereta atau lanjutkan COE kereta sebab ini lebih bersesuaian dengan keadaan sekarang.'' - Encik Mohamed Taifoor Mohamed, pemilik syarikat kereta Mohamed Taifoor Motoring (MTM)


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg