WATIKAH BUAT CIKGU NORASIKEN MOHAMED NOOR
Sejak menjadi anak didikku Sudah kulihat kilauanmu Bak permata yang bakal menyinari jagat ilmu Ilmu bahasa dan budaya Melayu Hari ini kau sahihkan taksiranku Kau sememangnya permata yang gemerlap Menggilap minda insan-insan di sekelilingmu
Seorang insan yang dibesarkan dalam kesederhanaan hidup tidak pernah dihiasi dengan kemewahan yang hadir hanyalah segunung impian untuk mendidik anak bangsa.
Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian; Bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian.
Berpegang pada falsafah bangsa dengan tenang menempuh segala cabaran cekal mengimbangi antara tuntutan di sekolah sebagai guru dengan kesungguhan mendalami ilmu di universiti impian.
Dalam usia yang muda dengan langkah kecil, mulai mendaki tangga kejayaan kini sebagai Penolong Ketua Peringkat menebarkan sayap demi menjaga kemaslahatan anak didik.
Mewujudkan keseronokan Mencetuskan minat Menyentuh keajaiban Inilah gambaran suasana bilik darjah Agar setiap anak didik sentiasa bersemangat menggali ilmu kehidupan.
Kata anak didikmu
Engkaulah yang menyinari jalan-jalan mereka yang buntu Engkau jugalah yang menerangi mereka dengan lentera pengetahuanmu. Paculah terus mengejar visimu Agar dapat sama-sama menuju Ke gerbang kejayaan secara bersepadu.
BIODATA RINGKAS
Penerima AGAB 2019, Kategori Perangsang
Sekolah: Sekolah Perempuan Haig
Usia: 27 tahun
Jangka masa perkhidmatan: Lima tahun enam bulan
WATIKAH BUAT CIKGU NURHAFEZA HANEM ABDUL AZAL
Sedekad dalam bidang pendidikan Mengajar bahasa Melayu pelbagai aliran Menerajui program Menganjur perkhemahan Dan pelbagai kegiatan
Ibarat srikandi bangsa Melayu Dalam lembut tutur, tangkas langkah diatur Disiplin pelajar di atas pundak Pelbagai masalah dan kehendak Tanpa sebarang latihan dan bimbingan Hanya melalui bacaan dan pengamatan Ilmu didalami Peningkatan menjadi satu harapan Sarjana Pendidikan tercapai impian
Teguh perjuang bahasa tercinta Ada peluang dirangkul semua Jejak Mitra, Rerurai Teratak Nenda Kerja kemasyarakatan di Batam, China dan Bintan Begitulah sikapnya, berani menyahut cabaran
Yang sentiasa terpahat di sanubari Bila ada yang memohon dimaafi Tangisan penyesalan titis air mata Di depan kedua ibu bapa Langsung dilihat perubahan mereka Boleh bertutur dengan berhemah
Berpaksikan jati diri Menjadi pelapis berperibadi Berdaya intelektual tinggi Dapat menabur bakti Pada ibu pertiwi.
BIODATA RINGKAS
Penerima AGAB 2019, Kategori Perangsang
Sekolah: Sekolah Menengah Canberra
Usia: 34 tahun
Jawatan: Guru Disiplin
Jangka masa perkhidmatan: 10 tahun
WATIKAH BUAT CIKGU MUHAMMAD ANDI MOHAMMED ZULKEPLI
Mendidik, mengasuh dan membimbing Sekolah Menengah Zhenghua segalanya bermula Penyelaras unit dan guru disiplin Kumpulan genderang tidak dilupa.
Para pelajar menjadi tumpuan Pelbagai pedagogi dilaksanakan Membangun keyakinan, meningkatkan pemikiran Pembelajaran seronok, minda berkembang.
Keterampilan berbahasa menjadi matlamat Cerita rakyat, karya sastera dimanfaat Penghayatan mereka merentas cipta Persembahan pelajar hasil bersama.
Menjaga disiplin pelajar, antara tugas Kewajipan menimba ilmu tetap digalas Berkongsi ilmu di rantau dan Nusantara Diiktiraf finalis Anugerah Belia Cemerlang dalam Pendidikan.
Pertembungan idealisme dan gagasan muluk Falsafah pendidikan dan nilai kearifan Mencabar minda, mencuit hati Membentuk pelajar dan sanubari.
Pementasan teater menjadi wadah Tenaga guru dan pelajar digembleng Setiap peringkat memainkan peranan Bahasa dijunjung, budaya disanjung.
Misbah Minda mengimbau kenangan Melestarikan bahasa dan budaya Melayu Memberi pelajar ruang dan peluang Terhasilnya Pesta Budaya, Ceritera Kita dan Warisan Kita.
Harapan guru ikhlas dan tulus Membentuk pelajar yang arif lagi budiman Menghidupkan bahasa menyemarakkan budaya Penerus warisan leluhur kita.
BIODATA RINGKAS
Penerima AGAB 2019, Kategori Perangsang
Sekolah: Sekolah Menengah Zhenghua
Usia: 31 tahun
Jawatan: Guru Disiplin Tingkatan
Jangka masa perkhidmatan: Tujuh tahun tiga bulan


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg