Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Nona Asiah disertakan dalam Dewan Termasyhur Wanita S'pura

Di samping pakar penyakit berjangkit Leo Yee Sin dan lima lagi
Mar 9, 2022 | 5:30 AM
WANITA-WANITA DIIKTIRAF: Profesor Leo Yee Sin (kiri) berada di barisan hadapan ketika Singapura menentang Covid-19 manakala Nona Asiah (kanan) menjadi mentor kepada bakat muda, yang kebanyakannya kemudiannya menjadi nama terkemuka dalam hiburan Melayu. - Foto-foto fail
WANITA-WANITA DIIKTIRAF: Profesor Leo Yee Sin (kiri) berada di barisan hadapan ketika Singapura menentang Covid-19 manakala Nona Asiah (kanan) menjadi mentor kepada bakat muda, yang kebanyakannya kemudiannya menjadi nama terkemuka dalam hiburan Melayu. - Foto-foto fail -

IKON muzik dan filem Melayu, Nona Asiah, dan pakar penyakit berjangkit, Profesor Leo Yee Sin, yang berada di barisan hadapan dalam menentang Covid-19, telah disertakan dalam Dewan Termasyur Wanita Singapura (SWHF) bersama lima wanita lain semalam.

Dengan penambahan wanita-wanita ini ke dalam dewan tersebut, kini terdapat seramai 174 wanita yang diberi pengiktirafan SWHF.

Dewan tersebut dilancarkan Majlis Pertubuhan Wanita Singapura (SCWO) pada 2014 untuk meraikan pencapaian dan sumbangan wanita.

Ia juga bertujuan merakam serta mengongsi kisah mereka kepada umum.

Dalam ucapannya semasa majlis itu di Istana, Presiden Halimah Yacob berkata Singapura telah membuat kemajuan besar sebagai sebuah negara bagi membolehkan wanita mencapai potensi mereka.

Namun, negara ini tidak harus melupakan matlamat kolektif membina masyarakat lebih adil dan inklusif dengan rakyat Singapura mempunyai peluang sama untuk mencapai potensi penuh mereka, kata Puan Halimah, yang merupakan penaung SCWO.

Untuk melakukan demikian, Puan Halimah berkata masyarakat perlu menyemai nilai hormat-menghormati dan perkongsian antara lelaki dengan wanita sebagai kunci membuka jalan ke hadapan.

"Setiap warga Singapura mempunyai peranan mereka tersendiri - dengan berhati-hati dan menyedari apa yang kita katakan dan lakukan, agar ia tidak secara tidak sengaja mengekalkan stereotaip jantina, terutamanya kepada golongan muda kita," kata Puan Halimah.

Antara mereka yang diiktiraf tahun ini ialah Cik Koh Soo Boon, wanita Singapura pertama yang menembusi Lembah Silikon dan pengasas firma modal teroka pertama di Singapura, iGlobe Partners; dan Profesor Lily Kong, presiden Universiti Pengurusan Singapura (SMU) dan yang pertama wanita mengetuai Universiti Singapura.

Wanita-wanita lain yang disertakan termasuk ikon muzik dan filem Melayu Nona Asiah; pemain golf Cik Kee Bee Khim, yang menguasai golf wanita di Singapura dan rantau ini selama hampir tiga dekad; penyelidik bioperubatan perintis, Profesor Ding Jeak Ling; dan pakar perintis pekerja sosial dan keganasan keluarga Cik Sudha Nair, yang memulakan pusat pakar keganasan keluarga (Pave).

Nona Asiah, atau nama sebenarnya Asiah Aman, yang berusia 90-an tahun diwakili oleh anaknya, pengarah muzik, Encik Indra Shahrir Ismail, pada majlis tersebut.

"Ini benar-benar satu penghormatan yang besar. Dorongan dan dedikasi ibu saya bukan sahaja membentuk saya dan adik-beradik, tetapi mendorongnya menyumbang dengan banyak kepada masyarakat juga," kata Encik Indra, kepada The Straits Times.

Ibunya mula menyanyi sebagai seorang gadis muda semasa Pendudukan Jepun, dan kemudian menjadi penyanyi dan pengacara Radio Malaya.

Beliau kemudiannya menjadi jurulatih vokal dan mentor kepada bakat muda, ramai daripada mereka kemudiannya menjadi nama terkemuka dalam hiburan Melayu - penyanyi, pengacara dan penerbit Najip Ali adalah salah seorang daripada mereka.

Beliau telah dianugerahkan Pingat Budaya pada 2016.

Selain daripada usaha masyarakat, Puan Halimah berkata pemerintah bersama rakan kongsi utama seperti SCWO, telah menganjurkan 160 Perbincangan mengenai Pembangunan Wanita Singapura, yang melibatkan hampir 6,000 peserta di seluruh Singapura.

Maklum balas serta idea daripada perbualan tersebut telah menyumbang kepada Kertas Putih yang akan dibentangkan di Parlimen pada masa akan datang, tambahnya.

SCWO ialah badan penyelaras kebangsaan pertubuhan wanita di Singapura dengan lebih 60 pertubuhan ahli mewakili lebih 600,000 wanita di sini.

"Setiap warga Singapura mempunyai peranan mereka tersendiri - dengan berhati-hati dan menyedari apa yang kita katakan dan lakukan, agar ia tidak secara tidak sengaja mengekalkan stereotaip jantina, terutamanya kepada golongan muda kita." - Presiden Halimah Yacob.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg