PUSAT beli-belah Northpoint City telah meningkatkan kerja pembasmian kuman dan pembersihan, setelah dikenal pasti sebagai satu kelompok jangkitan Covid-19 pada Sabtu (25 April).
Memberi perkembangan itu, Setiausaha Parlimen Kanan (Pembangunan Sosial dan Keluarga), Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim, berkata beliau telah menghubungi pengurusan Northpoint City untuk melahirkan keprihatinan penduduk.
"Pengurusan Northpoint City memberi jaminan kepada saya bahawa mereka menganggap kesihatan dan keselamatan penyewa, pembeli-belah dan kakitangan sebagai keutamaan mereka.
"Antara lain, mereka akan terus menjalankan pembasmian kuman dan pembersihan menyeluruh pusat beli-belah itu," kata Dr Faishal, yang juga Anggota Parlimen GRC Nee Soon, di Facebook pada Ahad (26 April).
Kementerian Kesihatan (MOH) semalam berkata siasatan menunjukkan tujuh kes yang diumum sebelum ini adalah berkaitan, dan membentuk satu kelompok baru di Northpoint City.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg