Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Nostalgia bersama lagu-lagu P. Ramlee dan Saloma

Jan 16, 2025 | 5:30 AM
Pelakon lama di Jalan Ampas yang terkenal dengan watak cilik dalam filem, ‘Lela Manja’, Habibah Haron, berharap generasi muda akan terus menghargai karya-karya agung Tan Sri P. Ramlee dan Saloma.
Pelakon lama di Jalan Ampas yang terkenal dengan watak cilik dalam filem, ‘Lela Manja’, Habibah Haron, berharap generasi muda akan terus menghargai karya-karya agung Tan Sri P. Ramlee dan Saloma. - Foto ihsan HABIBAH HARON

Peminat dan pendengar lagu-lagu klasik, khususnya yang didendangkan Tan Sri P. Ramlee dan Saloma, akan teruja dengan satu acara yang berlangsung pada 19 Januari di The Cove City Plaza di pusat beli-belah City Plaza.

Syarikat seberang Tambak, Landas Cita Shavera Entertainment, bakal mengadakan acara hiburan, Irama Meruntun Jiwa Lagu-Lagu Tan Sri P. Ramlee & Saloma, yang akan disertakan dengan sajian bufet.

Antara artis yang bakal menghiburkan di acara tersebut termasuk penyanyi veteran, Mahani Mohd, Kamaliah Latiff, A. Mahadi, Roslan Yus serta artis cilik pada era Jalan Ampas, pelakon Habibah Haron atau lebih dikenali sebagai Lela Manja (mengikut watak filem yang dilakonkan)

Penyanyi Malaysia, Hisham Adrizal, yang merupakan penganjur acara itu bersama pasangan duetnya, Aveira, juga akan mendendangkan beberapa karya agung seniman dan seniwati tersohor itu.

Hisham, yang juga dikenali dengan lagu, Kepastian, mempunyai suara mirip Jamal Abdillah.

“Sebagai penganjur acara ini, pihak kami meletakkan karya seni Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan Allahyarhamha Saloma di tempat tertinggi.

“Dengan harapan, lagu-lagu mereka akan terus segar didengari, diminati dan menjadi siulan peminat di Nusantara, sama ada di Singapura, Malaysia, Indonesia, dan juga Brunei dan Thailand.

“P. Ramlee adalah ikon anak seni Melayu yang harus kita pelihara karya-karya seninya. Kerana karya beliau, sama ada dalam perfileman atau dalam penciptaan lagu, kita tahu liriknya penuh dengan unsur-unsur nasihat, serta nilai-nilai baik yang boleh kita jadikan sebagai pedoman dalam kehidupan.

“Malah, dialog-dialog dalam babak filem P. Ramlee juga, biarpun mengandungi sindiran yang sinis, tetap mempunyai peringatan yang bernas untuk kita pelajari,” jelas Hisham, yang juga mengendalikan syarikat madu lebah tualang asli yang boleh didapati di sini.

Menurut Habibah, acara hiburan, Irama Meruntun Jiwa Lagu-Lagu Tan Sri P. Ramlee & Saloma itu bak pencetus semangat buatnya kembali aktif dalam dunia seni.

Bagi dirinya, dunia seni tiada noktah terakhir dan besar harapannya agar generasi muda akan tetap mengingati jasa dan sumbangan barisan artis lama seperti pelakon dan penyanyi di Jalan Ampas dahulu.

“Acara ini saya anggap sebagai langkah pertama untuk saya kembali aktif ke dunia seni, setelah lama menyepi.

“Harapan saya, dengan mengetengahkan lagu-lagu terkenal daripada Tan Sri P. Ramlee dan Saloma ini, ia dapat mengembalikan nostalgia kepada mereka yang pernah membesar di zaman kegemilangan lagu-lagu tersebut.

“Bagi generasi yang lebih muda, saya berharap mereka akan dapat menikmati keindahan karya seni agung ini dengan lebih mendalam lagi,” kata Habibah.

Bagi maklumat lanjut tentang acara ini, anda boleh hubungi talian WhatsApp di 8784-6597.

Tiket berharga $38, termasuk sajian, cenderahati dan peluang memenangi cabutan bertuah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg