Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Nostalgia pasar lambak Sungei Road cetus ilham anjur jualan dari bagasi

Dua rakan niaga kembalikan kemeriahan borong barang vintaj, terpakai di Perpustakaan Negara pada 8 dan 9 Feb
Feb 5, 2025 | 5:30 AM
Pengasas syarikat penganjuran acara Fyre Eventalist, Encik Mohammad Shahril Selamat (kiri) dan Encik Taisman Abdul Hamid, akan menganjurkan Pasar Jalanan Fyre: Edisi Bagasi Terbuka, berilhamkan pasar lambak terbuka Sungei Road tatkala ia beroperasi sehingga pertengahan 2017.
Pengasas syarikat penganjuran acara Fyre Eventalist, Encik Mohammad Shahril Selamat (kiri) dan Encik Taisman Abdul Hamid, akan menganjurkan Pasar Jalanan Fyre: Edisi Bagasi Terbuka, berilhamkan pasar lambak terbuka Sungei Road tatkala ia beroperasi sehingga pertengahan 2017. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Berdagang peralatan atau perkakas terpakai menggunakan bagasi adalah sesuatu yang lumrah di pasar lambak terbuka Sungei Road tatkala ia masih beroperasi.

Bahkan ia menjadi salah satu daya tarikan bagi pengunjung kerana keunikan cara berdagang sebelum pasar itu melabuhkan tirainya pada Julai 2017 bagi memberi ruang kepada pembangunan semula.

Sejak itu, cara berdagang sedemikian boleh dikatakan sukar dilihat di Singapura – sehinggalah baru-baru ini apabila konsep itu dihidupkan semula Encik Mohammad Shahril Selamat bersama rakan kongsinya, Encik Taisman Abdul Hamid.

Mereka bermula dengan menganjurkan Pasar Jalanan Fyre di Pusat Seni Aliwal pada 17 Januari, disusuli dengan Pasar Jalanan Fyre: Edisi Bagasi Terbuka yang bakal diadakan di Perpustakaan Negara pada 8 dan 9 Februari ini.

Ketika dihubungi Berita Harian (BH) pada 4 Februari, Encik Mohammad Shahril, pengasas bersama syarikat penganjuran acara Fyre Eventalist itu, berkata beliau mengambil ilham tatkala membesar dengan perkakasan vintaj atau terpakai dari Sungei Road.

Beliau menganggap pasar lambak kegemaran ramai itu begitu sinonim kerana padat dengan “khazanah tersembunyi”, ada yang mengimbau kenangan nostalgia dan boleh digunakan sebagai bahan kesenian atau sejarah.

“Barangan atau perkakas dalam bagasi yang dibentangkan (di pasar itu), ada di antaranya mempunyai kisah tersirat. Cawan, pinggan lama, segala apa ada… tetapi apa yang saya benar-benar terkenang tentang pasar itu bukanlah dalam barangan jualannya, tetapi apa yang pengunjung dapat bawa pulang.

“Kemungkinan besar, pengunjung boleh membawa pulang sesuatu yang begitu istimewa,” ujar penyanyi dan pelukis berusia 43 tahun itu, yang lebih dikenali sebagai Shafyre.

Konsep inilah yang ingin sedikit sebanyak diterapkan dengan penganjuran acara dua hari itu.

Menurutnya, acara tersebut bakal menampilkan sekitar 40 reruai yang akan menjual beraneka barangan terpakai atau vintaj, antara lain, menggunakan bagasi.

Setiap pengendali gerai akan diberi ruang sebesar 1.6 meter dan selebar 1 meter, yang boleh memuatkan dua bagasi besar berukuran 28 hingga 31 inci.

Setakat ini, 80 peratus slot sudah dipenuhi oleh pihak vendor, tambahnya.

Encik Mohammad Shahril berkata: “Saya sebenarnya ingin kembalikan pasar lambak yang nampaknya semakin pudar di sini.”

Beliau sedia maklum wadah dalam talian seperti Carousell yang tersedia, tetapi menyifatkan pengalamannya berbeza apabila “kededua penjual dan pembeli dapat bersemuka, melihat barangan secara fizikal, berunding” dan borong jika berkeinginan – semua ini dilakukan dalam suasana santai.

Malah semangat mengadakan pasar lambak inilah yang mendorongnya menubuhkan syarikat penganjuran acara pada September 2024.

Acara pasar lambak pertama di Pusat Seni Aliwal, jelasnya, berjaya meraih sambutan sangat menggalakkan.

Beliau dan rakan kongsinya mendapati terdapat jurang dalam pasaran untuk wadah atau acara bagi memenuhi keperluan pengguna yang ingin membeli dan menjual barangan terpakai, barangan sukar didapati atau barangan edisi terhad pada harga berpatutan.

“Kami mendapati bahawa pasaran jimat cermat sedia ada sering tertumpu kepada barangan terpakai dengan harga berpatutan, manakala acara dan pasaran lain lebih cenderung menjual produk pada harga runcit.

“Kami melihat peluang untuk mencipta platform yang akan dapat merapatkan jurang ini dan ingin memberikan pengalaman membeli-belah yang unik bagi pelanggan,” ujar Encik Mohammad Shahril lagi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg