Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

NParks akan lancar tanda laluan baru di lebih banyak penghubung taman

Nov 13, 2024 | 2:58 PM
Tanda-tanda laluan disemak yang memisahkan beberapa bahagian Rangkaian Penghubung Taman (PCN) kepada laluan pejalan kaki sahaja dan laluan berkongsi, akan dilancarkan di lebih banyak penghubung taman.
Tanda-tanda laluan disemak yang memisahkan beberapa bahagian Rangkaian Penghubung Taman (PCN) kepada laluan pejalan kaki sahaja dan laluan berkongsi, akan dilancarkan di lebih banyak penghubung taman. - Foto fail

Lembaga Taman Negara (NParks) akan melancarkan tanda-tanda laluan yang disemak di lebih banyak Rangkaian Penghubung Taman (PCN).

Tanda laluan yang disemak itu memisahkan beberapa bahagian PCN kepada laluan pejalan kaki sahaja serta laluan yang berkongsi.

Demikian dinyatakan oleh Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

Langkah itu menyusuli satu fasa perintis yang dijalankan sehingga suku ketiga 2023. Maklum balas yang diterima akan dirangkumkan dalam fasa seterusnya, tambah beliau.

Dr Faishal berkata demikian di Parlimen pada 13 November semasa menjawab soalan Encik Dennis Tan (Hougang), berhubung pembahagian laluan kepada laluan pejalan kaki sahaja dan laluan berkongsi di PCN.

NParks telah merintis tanda-tanda PCN baru yang memisahkan beberapa bahagian PCN kepada laluan bagi pejalan kaki sahaja dan laluan berkongsi pada 2022.

Dr Faishal berkata agensi itu telah secara konsisten melaksanakan tanda-tanda baru pada sambungan berterusan PCN, dengan mengambil kira faktor seperti kelebaran laluan serta trafik melibatkan orang ramai di kawasan tersebut.

“Sebagai sebahagian tipologi (kajian simbol) baru itu, NParks juga telah melaksanakan tanda-tanda laluan baru untuk mempertingkat pengalaman pengguna dan menggalakkan penggunaan PCN dengan selamat dan bertimbang rasa.

“Ini termasuk tanda-tanda untuk mengingatkan pengguna supaya kekal di bahagian kiri laluan apabila menggunakan penghubung taman, serta tanda-tanda jelas menunjukkan jenis pengguna berbeza yang dibenarkan pada setiap laluan, termasuk pejalan kaki, penunggang basikal dan pengguna alat mobiliti peribadi,” kata beliau.

Dr Faishal menambah bahawa NParks bekerja rapat dengan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), kumpulan Friends of PCN dan masyarakat.

Ia khusus untuk menggalakkan orang ramai menggunakan PCN dengan selamat dan berhemah, terutama bagi penghubung taman yang kerap digunakan dan sering melibatkan konflik antara pengguna – berdasarkan maklum balas yang diterima.

NParks turut bekerjasama dengan Gerakan Baik Budi Singapura (SKM) untuk meningkatkan kesedaran awam mengenai etika PCN melalui Duta Baik Budi mereka.

Menurut laman web, NParks, fasa pertama perintis telah dilaksanakan antara 2022 dengan 2023 bagi kira-kira 30 kilometer (km) penghubung taman di sepanjang Koridor Pantai Timur Laluan Keliling Pulau dan Taman Pasir Panjang.

Fasa kedua akan dilaksanakan secara bertahap dari sepanjang kira-kira 20 km laluan penghubung taman di penghubung taman Tanjong Rhu, Gardens by the Bay, Bendungan Marina, Singapore River Promenade, penghubung taman Punggol, Taman Pasir Ris dan penghubung taman Ulu Sembawang.

“Dalam fasa seterusnya, NParks akan melancarkan tipologi PCN baru bagi lebih banyak penghubung taman, dengan merangkumkan maklum balas yang diterima sejauh ini.

“Setelah itu, NParks akan mendekati pihak berkepentingan sekali lagi dan menilai kebolehlaksanaan untuk melaksanakan tipologi baru itu bagi lebih banyak penghubung taman,” kata beliau.

Encik Tan dalam soalan susulannya telah berkongsi pemerhatian tentang pengguna yang mungkin keliru dengan tanda-tanda laluan baru itu.

Beliau bertanya sama ada semakan akan dilakukan untuk mempertingkat penggunaan pembahagian laluan supaya terdapat keselamatan dan kemudahan lebih baik bagi semua pengguna.

Di samping itu, beliau turut bertanya sama ada NParks akan meningkatkan usaha pendidikan awam mengenai penggunaan PCN untuk semua pengguna.

Dr Faishal berkata ia akan mengambil masa bagi pengguna membiasakan diri dengan tanda-tanda baru itu.

“Apabila kami selesai fasa pertama perintis pada suku ketiga 2023, kami telah melakukan tinjauan bersama kumpulan Friends of PCN dan semua pihak berkepentingan berlainan dengan semangat persefahaman bahawa ia mengambil masa untuk membaiki tingkah laku manusia, tetapi juga untuk melihat bagaimana prasarana kami memenuhi keperluan rakyat,” kata beliau.

“Kami telah memisahkan laluan dan apa yang kami lihat adalah orang ramai sedang menyesuaikan diri dengan proses ini.

“Apabila kami mulakan fasa kedua, kami akan mengambil maklum balas atau komen daripada fasa pertama, dan kami akan melihat bagaimana kami boleh menyusuri perkara ini dengan lebih lanjut,” tambah beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg