LEMBAGA Taman Negara (NParks) akan mengambil langkah lebih kukuh untuk melindungi keselamatan awam yang menghadapi masalah monyet berkeliaran yang mengganggu atau agresif, kata Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee.

Ini termasuk memerangkap dan memindahkan monyet daripada kawasan kediaman, dan dalam jangka panjang, agensi itu juga sedang meneliti langkah mengawal populasi haiwan itu seperti pemandulan.

Encik Lee menambah NParks juga akan membantu individu yang terjejas di mana boleh, sekiranya agensi itu menerima maklum balas mengenai serangan atau kecederaan berkaitan monyet.

Beliau berkata demikian dalam satu jawapan bertulis kepada soalan Parlimen kelmarin oleh Dr Tan Wu Meng (GRC Jurong), yang bertanya apakahlangkah yang sedia ada untuk membantu penduduk, terutama kanak-kanak yang diserang atau cedera akibat monyet.

Dr Tan juga bertanya sama ada NParks telah mempertimbangkan pencerobohan monyet di rumah penduduk, rumah penjagaan dan tempat penjagaan bagi warga emas, prasekolah dan kemudahan penjagaan kanak-kanak apabila merancang respons kejadian melibatkan haiwan itu dalam sekitaran bandar.

Encik Lee berkata pemerintah mengambil pendekatan masyarakat dan berdasarkan sains dalam menguruskan populasi monyet di Singapura.

"Sebagai sebahagian usaha ini, NParks memantau dengan teliti taburan geografi maklum balas berkaitan monyet, dengan mengambil kira pertimbangan kedekatan mereka dengan tempat seperti rumah kediaman, rumah penjagaan dan kemudahan penjagaan kanak-kanak.

"NParks juga menjalankan kajian untuk lebih memahami trend dan taburan populasi monyet, dan menggunakan dapatan kajian itu bagi langkah menguruskan populasi monyet," kata beliau.

Contohnya, di tempat yang ada banyak monyet, NParks melakukan modifikasi habitat dengan menggantikan atau memetik pokok buah-buahan bagi mengurangkan makanan sedia ada untuk monyet.

NParks juga bekerja rapat dengan agensi awam lain, badan akar umbi, dan Majlis Bandaran untuk mendekati masyarakat tentang pengurusan sampah yang betul, dan untuk menghalang pemberian makan secara haram kepada hidupan liar.

"Melalui usaha sedemikian, kami bekerjasama dengan penduduk untuk mengurangkan kehadiran hidupan liar di estet mereka," kata Encik Lee.

NParks juga bekerjasama dengan Kumpulan Kerja Kera, yang merangkumi pihak berkepentingan seperti pakar akademik dan anggota masyarakat alam semula jadi, untuk sama-sama membangunkan dan melaksanakan langkah pengurusan monyet.

Ini termasuk kawalan monyet yang dijalankan NParks dengan kerjasama penduduk dan relawan lain untuk menghalang monyet daripada mendekati kawasan kediaman.

Encik Lee berkata agensi itu akan terus bekerjasama dengan pihak berkepentingan utama dalam program pendekatan awamnya.

"Kita semua mempunyai peranan dalam mengurangkan pencerobohan hidupan liar dan memastikan masyarakat kita selamat.

"Kita boleh melakukan ini dengan mengelak daripada memberi makan kepada hidupan liar, memastikan kawasan kediaman kita bersih, dan menghargai hidupan liar dari jarak selamat," kata beliau.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti