Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

NParks jaya biak dalam kurungan ketam hanya ada di S’pura

May 25, 2024 | 4:05 PM
Presiden Tharman Shanmugaratnam (dua dari kiri) dan Encik Desmond Lee (kiri) berinteraksi bersama Cik Vilma D’Rozario, pengarah bersama Kumpulan Bertindak Kucing Liar Singapura, pada Pesta  Biodiversiti di ONE Punggol pada 25 Mei.
Presiden Tharman Shanmugaratnam (dua dari kiri) dan Encik Desmond Lee (kiri) berinteraksi bersama Cik Vilma D’Rozario, pengarah bersama Kumpulan Bertindak Kucing Liar Singapura, pada Pesta Biodiversiti di ONE Punggol pada 25 Mei. - Foto ST

Lembaga Taman Negara (NParks) telah berjaya membiak dalam kurungan dan melepaskan tiga spesies ketam air tawar yang terdapat hanya di Singapura.

Tiga spesies itu ialah ketam air tawar Johnson, ketam air tawar Singapura dan ketam hutan paya.

Ia antara lebih 40 spesies haiwan yang merupakan sebahagian daripada program pemulihan spesies NParks bagi melindungi flora dan fauna asli yang jarang ditemui atau terancam dan membantu mereka bertakat daripada tekanan alam sekitar.

Melalui program itu NParks juga telah melaksanakan pemulihan bagi lebih 80 spesies tumbuh-tumbuhan.

Mengulas tentang usaha itu, Presiden Tharman Shanmugaratnam berkata ia adalah pencapaian yang besar bagi NParks.

“Ia satu pencapaian baik oleh pasukan NParks, dan ia adalah sesuatu yang lebih sukar dilakukan daripada yang difikirkan.

“Tidak mudah membuat ketam membiak dalam kurungan, dan khususnya untuk mendapatkan generasi pertamanya.

“Mereka sendiri dilahirkan dalam kurungan, membiak dan memberi kita generasi kedua,” kata beliau di Pesta Biodiversiti ke-13 di ONE Punggol pada 25 Mei.

NParks berjaya menjalankan pembiakan spesies ketam terancam itu dalam kurungan dan melepaskan anak-anaknya ke habitat liar untuk mendorong pembiakannya.

Kesemuanya adalah antara ketam paling jarang ditemui di dunia.

Turut menyertai pesta itu ialah Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee.

Semasa pesta itu, edisi ketiga ‘Buku Data Merah Singapura’ juga dilancarkan. Ia buku menyeluruh yang menyediakan rujukan umum bagi status pemuliharaan kepelbagaian bio atau biodiversiti tempatan.

Hingga sekarang lebih 9,400 spesies terkumpul dalam edisi tersebut. Jumlah itu lebih tiga kali ganda lebih banyak daripada edisi sebelumnya, yang diterbitkan pada 2008.

Buku itu juga memaparkan penulisan terperinci mengenai spesies terpilih dan usaha berterusan memuliharanya.

“Ini adalah hasil kerja bertahun-tahun oleh 130 penyumbang merentasi pemerintah, ahli akademik dan masyarakat sivil.

“Paling penting, ‘Buku Data Merah Singapura’ menyediakan titik rujukan bersama untuk semua pihak berkepentingan, dan akan menjadi bahan utama dalam membimbing strategi pemuliharaan alam semula jadi merentasi Singapura,” ujar Tuan Presiden.

Selain itu, NParks telah menyemak garis panduan Penilaian Kesan Biodiversiti (BIA), yang membantu pemaju dan pengamal industri memahami kesan pembangunan berfungsi ke atas flora dan fauna tempatan dalam Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA).

Semakan utama dalam garis panduan itu termasuk kemas kini tentang menjalankan kajian asas bagi tapak daratan dan marin, serta penerangan tentang jenis habitat marin baru.

Secara keseluruhannya, usaha itu berdasarkan pelbagai tunggak ‘Pelan Induk Pemuliharaan Alam Semula Jadi NParks’, yang membimbing strategi pemuliharaan biodiversiti NParks, kata NParks dalam satu kenyataannya pada 25 Mei.

Ia akan membolehkan negara ini memulihara warisan semula jadinya dengan lebih baik, serta meningkatkan iklim dan daya tahan ekologinya bagi menyediakan persekitaran hidup yang berkualiti tinggi, tambah kenyataan itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg