SELAMA lebih daripada 30 tahun meneroka hutan-hutan di Singapura, Dr Adrian Loo, pengarah kumpulan pengurusan kehidupan liar di Lembaga Taman Negara (NParks), hanya dua kali dapat melihat tenggiling Sunda, antara haiwan yang terancam.
Mamalia malam itu, haiwan asli dari Singapura, tidak mudah dilihat.
Jika anggaran tentang jumlah haiwan itu dibuat hanya berdasarkan pemerhatian manusia, kiraan tenggiling Singapura adalah jauh lebih rendah.
"Tetapi NParks kini memanfaatkan lebih banyak alat yang akan membantu menyediakan pemahaman yang lebih baik tentang hidupan liar Singapura," kata Dr Loo.
Pada 2019, misalnya, NParks mula menggunakan dron untuk meneroka kanopi pokok - yang membolehkan penyelidik mendapatkan rekod spesimen bebunga atau tumbuhan lain, seperti mistletoe yang jarang ditemui.
Menurut The Straits Times (ST), ia juga baru-baru ini memulakan projek penyelidikan yang melibatkan pengumpulan sampel alam sekitar - seperti dari air laut, udara atau tanah - dan menganalisisnya untuk mengesan bahan genetik daripada spesies haiwan, dan untuk mengesan patogen berbahaya.
NParks juga sedang bekerjasama dengan penyelidik daripada Institut Sains Marin Tropika (TMSI) di Universiti Nasional Singapura (NUS) untuk membangunkan sistem pemantauan yang boleh mengenal pasti burung berdasarkan panggilan mereka.
TABIAT YANG TIDAK DILIHAT
Wartawan foto, Encik Mark Cheong, dan wartawan ST, Cik Audrey Tan, baru-baru ini telah menyertai kakitan NParks untuk meninjau kehidupan liar di waktu malam. Mereka berada di denai Hutan Simpanan Bukit Timah melepasi 9 malam untuk memerhatikan haiwan liar yang keluar dalam suasana gelap.
Mereka menggunakan lampu merah untuk melihat kancil kecil - lampu merah tidak begitu mengganggu hidupan liar seperti cahaya putih - dan memerhatikannya makan rumput dari jarak yang agak jauh.
Mereka berjaya melihat haiwan tersebut dengan bantuan peralatan penglihatan malam.
NParks mula menggunakan alat ini untuk kerja-kerja tinjauan pada waktu malam pada 2018, kata Cik Li Tianjiao, seorang pengurus kanan di Pusat Biodiversiti Kebangsaan NParks.
Dr Loo dan Cik Tan telah pergi lebih awal mendahului pasukan yang lain, dengan harapan dapat melihat tenggiling.
Lebih kurang 10 minit kemudian, Dr Loo menghentikan langkahnya, lantas terus memancarkan lampunya ke arah satu sudut dalam hutan itu.
Beliau telah melihat seekor haiwan berdekatan mereka. Mereka kemudian melihat cahaya merah dari lampu suluh mereka dipantulkan pada mata haiwan itu tetapi mereka tidak dapat mengenal pasti makhluk tersebut.
Namun, apabila Cik Li menggunakan teropongnya dan peralatan penglihatan malam, beliau berjaya melihat mahluk itu.
"Peralatan sedemikian mengesan kesan haba daripada haiwan itu, dan membolehkan kami melihatnya walaupun ia dilindungi tumbuh-tumbuhan," kata Cik Li.
"Memandangkan ia berfungsi dalam keadaan cahaya malap, peralatan ini juga membolehkan kami memerhati tingkah laku haiwan semula jadi tanpa mengganggunya," jelas beliau.
Beliau teringat satu ketika beliau melihat seekor haiwan yang sangat penting pada 2019, apabila kamera penglihatan malam membolehkannya melihat seekor kongkang, atau slow loris, sedang makan nektar bunga pokok durian.
Ia adalah kali pertama ia dilihat sedang memakan bunga daripada pokok durian.
Kongkang diketahui memakan buah-buahan dan serangga kecil.
Maklumat seperti ini berguna untuk usaha pemuliharaan, kerana ia boleh membantu NParks menentukan apa pokok untuk ditanam di habitat haiwan ini yang diketahui, kata Dr Loo.
PENGESAN AURAL
Adalah lebih mudah mendengar kicauan burung daripada melihatnya apabila berjalan di dalam hutan.
Inilah cabaran yang dihadapi dan cuba diatasi penyelidik daripada NParks dan TMSI dalam usaha membangunkan sistem pemantauan yang boleh mengenal pasti burung melalui panggilan mereka.
Ia serupa dengan cara aplikasi mudah alih, Shazam, yang boleh mengenal pasti lagu berdasarkan coretan muzik yang dimainkan melalui radio.
NParks memulakan perbincangan dengan TMSI mengenai projek itu pada 2019, kata Encik Low Bing Wen, pengurus kanan di Pusat Biodiversiti Nasional NParks.
Fasa percubaan kajian itu dilakukan di Kebun Bunga Singapura, dan sehingga kini, perisian itu dapat mengenal pasti panggilan 38 burung, termasuk burung belatuk dan cecawi anting-anting atau racket-tailed drongo.
Dr Mandar Chitre, ketua Makmal Penyelidikan Akustik TMSI, berkata perisian itu berupaya mengaitkan panggilan burung tertentu dengan spesies tertentu dengan rakaman audio daripada pelbagai sumber.
Ini termasuk yang ada di Xenocanto, pangkalan data tempat pemerhati burung daripada semua seluruh dunia memuat naik coretan daripada kicauan burung.
Untuk fasa perintis, penyelidik hanya menggunakan rakaman dari Singapura untuk meningkatkan keupayaan perisian tersebut.
Mereka kemudian mengaplikasikannya kepada beribu-ribu jam rakaman audio yang dikumpul dari dua tapak di Kebun Bunga Singapura.
"Kami masih memperbaiki algoritma untuk mengenal pasti lebih banyak spesies burung dan dengan ketepatan yang lebih tinggi," kata Dr Chitre.
Kekurangan rakaman spesies yang tertentu, terutamanya yang sering diburu untuk perdagangan burung penyanyi, juga merupakan cabaran yang besar.
Panggilan burung barau-barau (straw-headed bulbul) dan tiung emas, yang popular dalam perdagangan burung dalam sangkar, disunting daripada Xenocanto, untuk menghalang pemburu haram daripada menggunakan panggilan serupa untuk menarik perhatian burung liar menjadi perangkap.
Tetapi apabila ia bersedia digunakan sekitar 2025, alat ini boleh membantu NParks mengesan kehadiran burung yang jarang dilihat dengan lebih baik.
Contohnya seperti tenggiling, yang lebih suka tinggal jauh daripada manusia.
Kata Encik Low: "Ia adalah cara yang tidak mengganggu untuk memantau kehidupan burung kami walaupun di kawasan terpencil dengan sedikit gangguan."
Saintis pemuliharaan NUS, Encik Koh Lian Pin, berkata teknologi pemuliharaan membantu saintis mengumpul data dari lokasi terpencil di lapangan 24 jam dalam seminggu, tanpa perlu campur tangan manusia.
Beliau menambah: "Ini membolehkan saintis menumpukan usaha menganalisis data, memantau keadaan alam semula jadi dan kehidupan liar, dan membangunkan penyelesaian untuk membantu dalam pemuliharaan mereka."
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg