KORIDOR Alam Semula Jadi Khatib telah dikenal pasti sebagai koridor alam semula jadi baru untuk meningkatkan kesalinghubungan ekologi antara Hutan Simpanan Tadahan Air Bahagian Tengah dan Taman Semula Jadi Khatib Bongsu.
Ini berdasarkan Latihan Pemprofilan Ekologi (EPE) yang dijalankan Lembaga Taman Negara (NParks) bagi bahagian utara Singapura.
Koridor Alam Semula Jadi Khatib baru itu merupakan salah satu daripada empat koridor ekologi baru yang diumumkan NParks semalam.
Tiga koridor lain terletak di Lim Chu Kang, Kranji dan Seletar.
Setiap koridor bertindak sebagai lebuh raya untuk hidupan liar, membolehkan mereka mencari pasangan dan makanan di kawasan hutan lain.
Koridor alam semula jadi - yang terdiri daripada tompok hutan yang dikekalkan, taman, laluan pokok dan penyambung taman - akan diwujudkan di kawasan ini - jika ia dibangunkan.
Koridor ekologi itu diumumkan sebagai sebahagian daripada pameran kajian semula pelan jangka panjang Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA), yang mempamerkan rancangan pembangunan Singapura bagi 50 tahun akan datang.
Koridor Alam Semula Jadi Khatib terdiri daripada tapak berhutan di Springleaf, Tagore, Miltonia Close dan di sepanjang Takungan Lower Seletar, serta Taman Alam Springleaf sedia ada.
Koridor Alam Semula Jadi baru itu membolehkan ketersambungan ekologi dikekalkan dan dipertingkatkan antara Hutan Simpanan Tadahan Air Bahagian Tengah dan Taman Semula Jadi Khatib Bongsu.
Di samping itu, tiga taman baru juga akan dilindungi di sepanjang Koridor Alam Khatib, kata URA.
Sementara itu, NParks akan mempertingkatkan kehijauan untuk mengukuhkan ketersambungan dan daya tahan ekologi melalui perlindungan tiga taman baru dan taman alam semula jadi - dua daripadanya terletak dalam tapak pembangunan Springleaf dan Miltonia Close.
Selain Taman Semula Jadi Khatib Bongsu dan Taman Canberra yang diumumkan sebelum ini, tiga taman baru itu ialah Taman Semula Jadi Nee Soon, Taman Semula Jadi Miltonia dan Perluasan Taman Takungan Lower Seletar.
Secara keseluruhan, terdapat lebih daripada 90 hektar kawasan hijau baru.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg