PENGUASA Pembangunan Infokom Media (IMDA) dan Yayasan Penyelidikan Nasional (NRF) akan melabur $50 juta dalam sebuah Pusat Amanah Digital (DTC) nasional baru.

Ini bagi menerajui penyelidikan dan inovasi Singapura dalam teknologi amanah, seperti huraian perlindungan privasi, dan mengembangkan bakat setempat dan perniagaan dalam bidang itu.

Menteri Perhubungan dan Penerangan, Cik Josephine Teo, semalam mengumumkan bahawa IMDA telah melantik Universiti Teknologi Nanyang (NTU) untuk menubuhkan pusat tersebut.

"DTC akan bekerjasama dengan universiti dan institut penyelidikan setempat untuk menggalak penyelidikan, penterjemahan dan pembangunan bakat dalam teknologi amanah," kata Cik Teo, yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Inisiatif Negara Bijak dan Keselamatan Siber.

"Ia akan memberi tumpuan kepada perkongsian dan pengiraan data yang dipercayai, identiti digital dan algoritma yang menilai kebolehpercayaan sistem.

"Selain rakan setempat, pusat itu juga akan bekerjasama dengan rakan antarabangsa daripada kedua-dua sektor awam dan swasta," tambah beliau yang juga Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri.

Cik Teo berkata demikian ketika berucap di hotel Ritz-Carlton, Millennia pada hari kedua acara Asia Tech x Singapore (ATxSG) anjuran IMDA.

Cik Teo telah mengumumkan di acara ATxSG tahun lalu bahawa Singapura akan melabur $50 juta sepanjang tempoh lima tahun untuk mewujudkan persekitaran digital yang dipercayai bagi rakyatnya dan perniagaan.

Digital amanah merujuk kepada tahap keyakinan pengguna terhadap keselamatan dan kebolehpercayaan platform digital dan pekerja, pertubuhan, teknologi dan proses di baliknya.

Pusat baru itu akan membolehkan institut pengajian tinggi dan institut penyelidikan mengkaji teknologi yang membantu membina dan menegakkan kepercayaan digital, memacu kerjasama setempat dan antarabangsa dalam bidang itu, dan menggalak masyarakat akademik dan perusahaan membangunkan bersama idea menjadi huraian yang sedia dipasarkan.

Ia juga akan menyediakan persekitaran ujian bagi perniagaan bereksperimen dengan teknologi amanah untuk mengurangkan cabaran perkongsian data.

Naib presiden bersekutu strategi dan kerjasama NTU, Profesor Lam Kwok Yan, akan menerajui pusat baru itu sebagai pengarah eksekutifnya.

IMDA berkata pusat itu juga menyasar memperdalam keupayaan setempat dalam teknologi amanah digital dengan memupuk bakat dalam penyelidikan dan pengembangan.

Sekurang-kurangnya 100 individu dijangka dilatih bagi tujuan itu.

Pusat itu akan memberi tumpuan pada empat bidang utama.

Penyelidikan dalam analisis dipercayai akan menyokong perniagaan dalam memperoleh wawasan sementara memelihara privasi data.

Dalam bidang identiti amanah, pusat itu akan meneroka bagaimana identiti dan aset digital boleh disahkan menggunakan teknologi lejar teragih, kriptografi dan biometrik.

Pusat itu juga akan meneroka pentauliahan dipercayai untuk membangunkan cara untuk menguji dan mengaudit kebolehpercayaan produk dan khidmat digital menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk memberikan jaminan kepada pengguna.

Akhir sekali, pusat itu akan menyasar dalam membangunkan huraian bagi had semasa mengenai pengiraan dipercayai.

IMDA dan Pusat Kepakaran Antarabangsa di Montreal bagi Kemajuan AI semalam juga menandatangani perjanjian untuk bekerjasama bagi projek yang memberi tumpuan pada teknologi yang meningkatkan privasi (PET).

IMDA berkata ini merupakan antara kerjasama rentas sempadan mengenai PET yang pertama di dunia dan menandakan "peningkatan ketara dalam penyertaan dan sokongan Singapura terhadap Kerjasama Global mengenai AI".