SEBUAH pusat bagi mengkaji perubahan dalam otak penduduk Asia sebelum demensia melanda di samping mencari strategi baru yang suatu hari dapat meramal dan melewatkan perkembangan sindrom itu telah dilancarkan Sekolah Perubatan Lee Kong Chian di Universiti Teknologi Nanyang (NTU).

Justeru, ia kini sedang menumpukan sasaran bagi mendapatkan individu yang disyaki mengalami masalah kemerosotan kognitif atau gangguan kognitif ringan (MCI).

Pengarah khidmat perubatan Singapura, Profesor Madya Kenneth Mak, yang merupakan tetamu terhormat di majlis pelancaran Pusat Kajian Demensia (Singapura) atau DRCS berkata dalam ucapannya bahawa pusat itu bertujuan membangun dan mengesahkan biopenanda tertentu serta campur tangan baru buat demensia dalam penduduk Asia.

Di Singapura, satu dalam 10 orang berusia 60 tahun ke atas hidup dengan kondisi ini.

Profesor Mak juga berkata Kementerian Kesihatan (MOH) mengambil pendekatan berbilang kaedah dalam jagaan demensia yang termasuk mempertingkat kesedaran, memperkukuh kapasiti jagaan dan keupayaan dalam masyarakat dan hospital serta menyokong pengasuh individu dengan demensia.

Kebanyakan pesakit di sini yang telah mendapatkan bantuan adalah mereka yang mengalami demensia tahap pertengahan hingga lanjutan.

Pengarah DRCS, Profesor Madya Nagaendran Kandiah pula menambah:

"Cabaran merawat demensia adalah jika ia tidak dikesan awal, anda akan jauh ketinggalan. Sejurus anda kehilangan sel otak, tiada apa yang dapat kami lakukan untuk kembalikan keadaan anda seperti asalnya."

Beliau berkata perubahan dalam otak ini boleh berlaku seawal usia 30 tahun sebelum seseorang mengalami demensia dan sekitar 80 peratus mereka yang mempunyai MCI - dianggarkan sekitar 250,000 orang - akan selanjutnya mengalami demensia.

Bagi kumpulan ini, risiko mendapat demensia meningkat sebanyak 10 hingga 15 peratus setiap tahun.

"Jika anda dapat mengesan individu pada peringkat ini, anda selanjutnya berada dalam kedudukan lebih baik untuk membantu mereka mencegah demensia," katanya.

Pusat ini bertujuan memberi pendedahan mengenai "demensia dalam kalangan warga Asia" kerana faktor biologi yang unik pada otak orang Asia yang menambah ketaranya masalah demensia.

Sebagai contoh, pesakit Asia tiga kali lebih berkemungkinan mengalami masalah penyempitan pembuluh darah kecil pada otak yang kemudian menyebabkan luka jirim putih, yang boleh menambah risiko demensia dan kemerosotan kognitif yang lebih pesat.

Di pusat kajian ini, peserta kajian akan melalui penilaian kognitif termasuk ujian darah dengan teknologi terkini bagi mencari protein otak khususnya amiloid dan tau serta menjalani imbasan otak bagi mengesan otak yang mengecut atau jika wujud luka jirim putih.

Laporan percuma lapan minggu sesudah kunjungan ke pusat ini dibuat akan diberikan, yang boleh digunakan individu bagi perbincangan bersama doktor mereka.