PASAR raya NTUC FairPrice semalam mengumumkan ia akan menawarkan diskaun istimewa untuk telur jenama syarikatnya Pasar Fresh Eggs, sebagai sebahagian daripada usaha menyerap kos semakin meningkat.
Bermula hari ini hingga 27 April, satu dulang Pasar Fresh Eggs yang mengandungi 30 biji telur akan ditawarkan pada harga diskaun $6.95, selagi stok masih ada, berbanding harga $7.50.
Ini boleh didapatkan di semua bentuk pasar raya FairPrice termasuk FairPrice Online, kata pasar raya itu dalam satu kenyataan semalam.
Untuk membolehkan lebih ramai pelanggan meraih manfaat daripada diskaun ini, setiap pelanggan boleh membeli hingga dua dulang telur (60 biji telur kesemuanya) semasa tempoh promosi.
Ketua Pegawai Pemerolehan FairPrice Group, Encik Tng Ah Yiam, berkata: "FairPrice berusaha untuk memberikan nilai yang baik melalui pelbagai cara termasuk diskaun istimewa untuk produk jika boleh.
"Dalam kes ini, kami menyerap kenaikan kos telur untuk memberikan diskaun istimewa bagi telur segar jenama Pasar kami.
"Ini tidak mudah kerana kami juga menghadapi peningkatan kos barangan, tenaga kerja dan logistik."
Peristiwa baru-baru ini, termasuk pandemik yang berterusan dan perang di Ukraine telah mengganggu ekonomi dan perniagaan pada skala yang tidak pernah berlaku sebelum ini, kata FairPrice dalam kenyataannya itu.
Ini telah menyebabkan harga telur meningkat disebabkan peningkatan kos makanan ayam, logistik, kekurangan tenaga kerja dan keadaan pasaran yang tidak menentu.
Keadaan diburukkan lagi dengan gangguan bekalan di ladang tempatan yang disebabkan oleh penyakit Newcastle, yang mengakibatkan kemerosotan sementara dalam pengeluaran telur ayam.
Kata Encik Tng lagi: "Kami juga ingin memberi jaminan kepada orang ramai bahawa tiada kekurangan telur sedang kami mengimport dari banyak sumber untuk memastikan kami tidak bergantung pada satu sumber bekalan sahaja," ujarnya.
FairPrice telah secara aktif mempelbagaikan sumber telurnya untuk memastikan makanan itu terus tersedia
Ia kini menawarkan lebih 60 SKU (unit penyimpanan stok) telur pelbagai jenama yang diimport dari tujuh negara termasuk Malaysia, Thailand, Australia, Poland, selain sumber tempatan.
Harga sedulang berisi 30 telur telah mencecah $7.50 pada hujung Mac, naik lebih 20 peratus daripada $6.15 pada Februari.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg