Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dan firma perkhidmatan profesional KPMG akan melancarkan program transformasi tenaga kerja untuk membantu syarikat menjadikan penggunaan kecerdasan buatan (AI) sebagai nilai perniagaan dan pekerjaan yang lebih baik.

Satu memorandum persefahaman (MOU) ditandatangani pada 22 Oktober, dengan kehadiran setiausaha agung NTUC, Encik Ng Chee Meng, dan rakan kongsi pengurusan KPMG Singapura, Cik Lee Sze Yeng.

“Ketika AI mengubah pekerjaan dan tempat kerja, NTUC mengambil tindakan untuk memastikan pekerja, termasuk karyawan, pengurus dan eksekutif (PME), dapat menyesuaikan diri dan mendapat manfaat daripada peluang baharu,” kata Encik Ng.

Beliau berkata syarikat harus melihat melangkaui peningkatan produktiviti individu dan memikirkan bagaimana AI boleh mewujudkan peluang perniagaan baharu serta mengubah model perniagaan sedia ada.

Inisiatif itu ialah program pertama yang membolehkan syarikat memanfaatkan kededua Geran NTUC Jawatankuasa Latihan Syarikat (CTC) Pakej Transformasi Tenaga Kerja Perusahaan (EWTP) pada peringkat berbeza dalam perjalanan transformasi mereka.

Geran CTC menanggung bersama sehingga 70 peratus kos layak bagi latihan dan projek yang bertujuan meningkatkan produktiviti, mereka bentuk semula pekerjaan dan memperbaik prospek kerjaya pekerja.

Di bawah EWTP, syarikat kecil dan sederhana (SME) boleh mendapat pembiayaan bersama sehingga 70 peratus, manakala syarikat bukan SME sehingga 50 peratus, dengan had $150,000 bagi setiap syarikat. 

Pembiayaan itu meliputi perundingan tenaga kerja, peningkatan kemahiran dan penyelesaian teknologi tenaga kerja.

Kerjasama itu menggabungkan kededua geran tersebut untuk membantu syarikat beralih daripada perancangan kepada pelaksanaan, melengkapkan pekerja dengan kemahiran yang relevan dan mereka bentuk semula pekerjaan di tengah perubahan yang didorong AI.

Cik Lee berkata: “Bagi ekonomi kecil dan terbuka seperti Singapura, rakyat kita sentiasa menjadi kelebihan kita. AI tidak mengubah hakikat itu. Ia menjadikannya lebih penting.”

Beliau berkata KPMG akan membantu syarikat mengenal pasti peluang AI, menilai keperluan kemahiran tenaga kerja serta membangunkan pekerjaan dan laluan pembelajaran yang lebih baik.

KPMG juga akan berkongsi pandangan dan kepakarannya untuk membina kemampuan serta menyebarkan amalan terbaik, bagi membantu syarikat merealisasikan nilai daripada pelaburan AI mereka.

Secara berasingan, NTUC LearningHub dan KPMG akan melancarkan enam kursus untuk meningkatkan kemahiran dalam bidang transformasi AI, kemampanan dan kewangan. Hasil kerjasama itu juga termasuk dua kursus sehari tentang cara memimpin transformasi AI.