Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19

NTUC pilih presiden baru; 3 pemimpin kesatuan Melayu anggotai j’kuasa pusat

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

NTUC pilih presiden baru; 3 pemimpin kesatuan Melayu anggotai j’kuasa pusat

Nov 23, 2023 | 08:37 PM



Tiga karyawan Melayu telah dipilih pada Khamis untuk menduduki Jawatankuasa Pusat Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) bagi penggal baru 2023-2027.

Ketiga-tiga mereka, Encik Abdul Samad Abdul Wahab, 51 tahun; Encik Sazali Zainal, 50 tahun; dan Cik Noor Irdawaty Jammarudin, 40 tahun, adalah pemimpin mapan kesatuan sekerja.







Encik Abdul Samad menyandang jawatan naib presiden NTUC sementara Encik Sazali dan Cik Irdawaty merupakan anggota jawatankuasa pusat kesatuan tersebut.

Mereka merupakan sebahagian Jawatankuasa Pusat 22 anggota yang baru dilantik, dengan Cik K Thanaletchimi dipilih sebagai Presiden baru NTUC.

Cik Thanaletchimi, 57 tahun, turut merupakan Presiden Kesatuan Pekerja Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan dan pernah berkhidmat dalam Jawatankuasa Pusat NTUC sebagai anggota pada 2015 kemudian sebagai naib presiden dari 2019 hingga 2023.

Bertemu media di Orchid Country Club setelah tamat Persidangan Perwakilan Kebangsaan NTUC 2023 pada Khamis, beliau berkongsi bahawa antara perkara penting yang ingin dicapai sebagai presiden ialah untuk menarik lebih ramai orang muda menyertai kesatuan.

“Ada beberapa perkara yang perlu kami beri tumpuan, misalnya, dari segi pengambilan keahlian – mendapatkan pekerja muda; dan juga memastikan pekerja yang matang terus bekerja,” katanya.

“Saya fikir adalah penting untuk meningkatkan keahlian kami, malah kami ada sasaran untuk itu iaitu 1.5 juta (ahli) atau lebih,” tambah beliau.

Dalam pada itu, Encik Abdul Samad, Encik Sazali dan Cik Irdawaty memberitahu Berita Harian (BH) mereka akan terus memperjuangkan isu yang melibatkan para pekerja.


Encik Abdul Samad, yang merupakan salah satu calon bagi jawatan presiden NTUC, berkata:

“Bagi saya, ini masih satu tanggungjawab. Walaupun tak dapat jawatan itu (Presiden), ia tak bermakna saya tak ingin lagi perjuangkan apa yang nak saya perjuangkan.

“Bagi saya, ini masih tanggungjawab besar.”

Mantan Anggota Parlimen Dilantik (NMP) itu sudah berkhidmat sebagai Setiausaha Agung Kesatuan Pekerja Gas dan Kuasa (Upage) sejak September 2015. Beliau berkhidmat dengan kesatuan itu selama 20 tahun.

Setiausaha Agung Kesatuan Pekerja ST Engineering, Encik Sazali pula berkongsi, mereka mahu bekerjasama dengan Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) untuk menarik lebih banyak syarikat kecil dan sederhana (SME) menyertai kesatuan.

Bagi Cik Irdawaty pula, ini merupakan kali pertama beliau mendapat tempat dalam Jawatankuasa Pusat NTUC.

Setiausaha Agung Kesatuan Pekerja Pembinaan Bangunan dan Industri Timbre itu sudah berkhidmat dengan kesatuan tersebut sejak 2012.

Akur masih tidak percaya beliau berjaya dipilih, Cik Irdawaty berkata, beliau mahu melakukan lebih banyak lagi bagi pekerja Melayu.

“Secara keseluruhan, semestinya saya mahu melihat bagaimana dapat melakukan lebih bagi industri sendiri. Saya mahu melihat bagaimana PWM (model gaji progresif) boleh diluaskan kepada sektor lain dalam industri persekitaran pembinaan.

“Saya rasa juga saya akan diberikan tanggungjawab untuk melihat bagaimana dapat menarik lebih ramai golongan pekerja wanita Melayu/Islam, jadi saya harap dapat memainkan peranan dalam memperkasa Muslimah dalam masyarakat kita,” ujar beliau.

Secara keseluruhan, anggota baru Jawatankuasa Pusat NTUC terbentuk oleh pemimpin kesatuan daripada pelbagai sektor dan industri termasuk aeroangkasa dan penerbangan, pendidikan, kewangan, penjagaan kesihatan serta perkhidmatan awam.

Hampir 450 delegasi daripada 58 kesatuan yang bergabung dengan NTUC telah mengundi Jawatankuasa Pusat baru itu bagi tempoh empat tahun dari 2023 hingga 2027.

JAWATANKUASA PUSAT BARU NTUC

  • Cik K Thanaletchimi (Presiden)
  • Encik Ng Chee Meng (Setiausaha Agung)
  • Encik Arasu Duraisamy (Setiausaha Hal Ehwal Kewangan)
  • Encik Abdul Samad Abdul Wahab (Naib Presiden)
  • Encik Andy Lim Tze Khong (Naib Presiden)
  • Encik Lim Teck Chuan (Naib Presiden)
  • Cik Cham Hui Fong (Timbalan Setiausaha Agung)
  • Encik Desmond Tan Kok Ming (Timbalan Setiausaha Agung)
  • Encik Heng Chee How (Timbalan Setiausaha Agung)
  • Encik Patrick Tay Teck Guan (Ahli)
  • Encik Luke Hee Wing Wai (Ahli)
  • Encik Richard Tan (Ahli)
  • Encik Thuvinder Singh Bachan Singh (Ahli)
  • Encik Eileen Yeo Chor Gek (Ahli)
  • Encik Raymond Chin Ming Jie (Ahli)
  • Encik Sanjeev Kumar Tiwari (Ahli)
  • Encik Sazali Zainal (Ahli)
  • Cik Julie Cheong Ai Hung (Ahli)
  • Encik Larry Gwee Guo Duan (Ahli)
  • Encik Daniel Loh Joo Shia (Ahli)
  • Encik Mike Mariyappa Thiruman (Ahli)
  • Cik Noor Irdawaty Jammarudin (Ahli)



Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >