KONGRES Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) telah mengambil tindakan setelah mendapat tahu sebuah agensi pengawal keselamatan merancang menurunkan pangkat 300 pegawainya secara tidak adil.
Setelah mengetahui hal itu, Kesatuan Pekerja Keselamatan (USE) telah campur tangan dan merujuk kes itu kepada Kementerian Tenaga Manusia (MOM) bagi mencari huraian, kata Setiausaha Agung NTUC, Encik Ng Chee Meng.
"Meskipun syarikat itu bersetuju mengekalkan pengawal keselamatan pada jawatan mereka ketika ini dan membayar gaji berdasarkan Model Gaji Progresif (PWM), saya diberitahu mereka mahu pengawal bekerja bagi tempoh bekerja lebih lama.
"Ini tidak betul, dan tidak harus dibenarkan,'' ujar Encik Ng dalam catatannya di Facebook semalam.
Beliau menegaskan NTUC akan memantau kes itu dan memastikan para pekerja dilindungi.
Di bawah PWM bagi sektor keselamatan privet, gaji asas bulanan pengawal keselamatan sebelum mengambil kira kerja lembur bermula daripada $1,650 - naik daripada $1,100 pada 2016.
Tahun depan, jawatankuasa Kelompok Tiga Pihak Bagi Keselamatan menyarankan gaji asas bagi jawatan pengawal keselamatan dinaikkan kepada $2,650.
NTUC bertindak jika firma abai panduan gaji: Chee Meng
Namun, oleh kerana gaji mereka akan melebihi had $2,600, oleh itu, di bawah Akta Pekerjaan, mereka tidak lagi layak mendapat gaji kerja lembur.
Memberi lebih banyak butiran mengenai agensi pengawal keselamatan ingkar itu, Encik Ng berkata USE mengambil langkah segera untuk campur tangan dengan agensi tersebut setelah beberapa anggota kesatuan itu memaklumkan tentang amalan agensi berkenaan pada lewat tahun lalu.
"Selepas campur tangan, agensi itu bersetuju tidak akan menurunkan pangkat pengawal itu. Tetapi ia mengambil keputusan menambah waktu kerja mereka.
"Ini sekali lagi merupakan satu percubaan agensi itu menetapkan semula syarat pekerjaan pengawal itu," tambah Encik Ng.
USE kemudian mengambil tindakan merujukkan agensi itu ke MOM untuk mencapai huraian.
Agensi itu bersetuju dengan permintaan kesatuan itu dan kementerian untuk mengadakan perbincangan bersama pekerja terjejas untuk mewujudkan tindakan pemulihan.
Tiada maklumat lanjut boleh didapati kerana kes itu sedang menjalani proses pendamaian.
"NTUC dan USE sedang mengawasi kes ini dengan teliti dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan lanjut terhadap agensi itu jika terdapat ketidakpatuhan selanjutnya," kata Encik Ng.
Beliau juga mengingatkan semua syarikat supaya merujuk kepada Garis Panduan Tiga Pihak bagi Pengurusan Tenaga Kerja Berlebihan dan berunding dengan kesatuan sebelum mengambil tindakan yang memberi kesan ke atas pekerja.
Encik Ng menambah bahawa NTUC dan kesatuan kerabatnya akan memastikan pekerja meraih faedah yang dimaksudkan di bawah PWM.
"Kami akan memastikan majikan dan pembeli perkhidmatan mereka sama-sama menghormati kewajipan undang-undang dan sosial mereka kepada pekerja kita," kata beliau.
Pengawal keselamatan swasta akan melihat gaji mereka dinaikkan setiap tahun sepanjang enam tahun antara tahun ini dengan 2028.
Ini selepas saranan kenaikan gaji itu, yang dikemukakan Kelompok Tiga Pihak bagi Keselamatan bagi mempertingkat tangga gaji dan kebajikan pengawal keselamatan di bawah PWM, diterima pemerintah dua tahun lalu.
Gaji asas mereka telah naik 3 peratus tahun ini berdasarkan saranan yang dikemukakan pada 2017.
Kenaikan besar dalam gaji bulanan dijangka berlaku tahun hadapan serta peningkatan kuantum tetap setiap tahun dari 2024 hingga 2028.
Ini meskipun terdapat usaha bagi mempertingkat gaji dan keadaan bekerja bagi pengawal.
Antara saranan lain ialah merangkumkan gaji yang dibayar bagi kerja lembur di luar tempoh kerja 44 jam seminggu ke dalam gaji asas PWM mulai tahun hadapan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg