SYARIKAT basikal kongsi oBike mengumumkan hari ini (25 Jun) bahawa mereka akan segera berhenti beroperasi di Singapura.
Menerusi satu kenyataan, oBike berkata ini antara lain disebabkan kesukaran memenuhi keperluan dan garis panduan baru oleh Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) untuk mengelak basikal daripada diletak sembarangan.
Rejim pelesenan baru LTA bagi pengendali basikal kongsi itu berkuat kuasa pada 7 Julai.
Di bawah undang-undang baru yang diluluskan Mac lalu, pengendali basikal kongsi harus mendapatkan lesen daripada LTA yang akan mengawal jumlah basikal yang mereka boleh tawarkan.
Lesen itu membolehkan syarikat kongsi basikal itu untuk beroperasi sehingga dua tahun.
Pengendali yang gagal mengemukakan permohonan selepas tempoh permohonan ditutup harus berhenti beroperasi.
Namun menurut oBike, operasinya di luar Singapura tidak akan terjejas.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg