USAHA melatih pelanggan berusia 60 tahun ke atas untuk memanfaatkan khidmat bank dalam talian dan membuat bayaran secara digital serta kekal selamat daripada sebarang penipuan bakal dikendalikan OCBC Bank di cawangan kejiranannya.
Latihan peribadi ini adalah sebahagian program OCBC Digital Silvers yang akan dikendalikan dalam lebih 25 bengkel yang setiap satu berlangsung selama setahun setengah hingga penghujung suku kedua 2023.
Dalam satu kenyataannya pada Sabtu (24 September), OCBC Bank berkata sesi ini akan dapat dimanfaatkan lebih 400 warga emas dengan mereka yang kerap berkunjung ke cawangan kejiranan ini akan didekati untuk belajar dalam suasana yang biasa dan selesa buat mereka dan daripada kakitangan bank yang mereka kenali dan percayai.
Program ini juga memastikan golongan warga emas tidak ketinggalan sedang Singapura meneruskan usaha menggalakkan perbankan digital.
OCBC Bank menambah hampir satu daripada setiap tiga pelanggan yang berkunjung ke cawangan OCBC Bank untuk urusan langsung di kaunter berusia 60 tahun ke atas manakala dua sebab utama bagi lawatan mereka ke cawangan ini adalah untuk mengeluarkan dan memasukkan wang tunai.
Khidmat perbankan asas ini boleh dikurangkan atau digantikan dengan bayaran digital.
Bagi memenuhi keperluan pelanggan warga emas ini, sukatan latihan buat mereka ini menekankan perbankan digital dan kemahiran membuat bayaran seharian termasuk pengenalan langkah demi langkah dalam menggunakan aplikasi digital OCBC atau membuat bayaran menerusi QR Code atau pemindahan wang menerusi PayNow, tambah OCBC Bank.
Sukatan latihan ini juga memberi penekanan setara pada keselamatan siber agar pelanggan berusia ini dapat menikmati kemudahan perbankan digital tanpa menjadi mangsa pancingan data dan penipuan lain yang kian meningkat dalam wadah digital.
Menurut OCBC Bank, pihaknya telah membangun panduan nasihat keselamatan untuk mendidik pelanggan tentang penipuan yang boleh berlaku.
Empat sesi bimbingan perintis telah diadakan awal tahun ini dengan jaya.
Selain bimbingan, peserta juga dapat mendengar pengalaman individu yang pernah menjadi mangsa penipuan, hampir menjadi mangsa atau merupakan anggota keluarga mangsa atau kakitangan OCBC Bank yang dapat menghentikan percubaan menipu.
Ketua Khidmat Kewangan Pelanggan Singapura OCBC Bank, Encik Sunny Quek, berkata:
"Bagi kebanyakan daripada kita, perbankan digital sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan kita. Bagaimanapun, perbankan digital masih lagi bidang yang tidak diteroka oleh beberapa pelanggan warga emas kita yang bergantung pada cawangan bank untuk kebanyakan keperluan perbankan mereka.
"Satu lawatan ke cawangan berkenaan mungkin menjadi sebahagian daripada rutin seharian mereka - kebanyakan cawangan kita khususnya yang berada di kawasan kejiranan, mempunyai pelanggan tetap yang rakan sekerja kami di cawangan sentiasa nantikan masa untuk temui.
"Pelanggan yang sudah lama bersama kami ini berada dalam ingatan apabila kami membentuk program OCBC Digital Silvers. Menerusi program kami, mereka bukan sahaja belajar tentang perbankan digital tetapi bagaimana mengelakkan diri daripada penipuan - dan mereka boleh melakukannya di cawangan, daripada kakitangan cawangan yang mereka ketahui dan percayai.
"Ia adalah ruang selamat buat mereka membangun keyakinan diri dan mempelajari kemahiran digital yang cepat menjadi kepentingan dalam kehidupan seharian."
Program OCBC Digital Silvers ini hanyalah salah satu inisiatif yang diperkenalkan bank ini untuk warga emas.
Kemudahan mesra warga emas di cawangan bank OCBC dan khidmat lain secara bertahap-tahap diperkenalkan termasuk pengenalan kerusi mesra warga emas yang juga digunakan di lokasi jagaan kesihatan, berhampiran kaunter perkhidmatan, penyediaan pelantar mudah alih dan tambahan penanda arah pada kad untuk mudah digunakan di mesin ATM.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg