Polis Trafik (TP) telah menjalankan operasi sekatan jalan raya sepanjang Kallang Road dari malam Jumaat hingga awal pagi Sabtu, dalam usaha membanteras isu memandu dalam keadaan mabuk di Singapura.
Operasi itu yang memanfaatkan pusat ujian Penganalisis Bukti Pernafasan (BEA), ‘membuahkan hasil’ apabila tiga pemandu ditahan selepas ujian menunjukkan darah mereka mengandungi kadar alkohol melebihi had dibenarkan.
Berita Harian yang menyertai operasi itu berpeluang meninjau pusat ujian BEA itu yang berupa van polis putih, dan dilengkapi dengan kemudahan untuk membuat analisis pernafasan.
Ia adalah salah satu daripada pelbagai keupayaan Polis Trafik (TP) dalam mengesan orang yang mabuk semasa memandu.
Bahagian dalam van mempunyai mesin BEA, alat ujian pernafasan, papan tanda sekatan jalan raya dan kon untuk membantu menyekat jalan raya.
Pusat ujian mudah alih BEA membolehkan TP memperolehi dapatan ujian pernafasan dengan tepat tanpa membawa pemandu yang disyaki mabuk ke ibu pejabat untuk melakukan ujian tersebut yang akan makan masa sekitar satu jam.
Ketua Pasukan Unit Rondaan, Penolong Superintenden Polis (ASP) Alex Au Jing Qi, yang mengetuai operasi sekatan jalan raya itu, berkata bahawa TP menjalankan penguatkuasaan secara berkala untuk mengesan dan menahan mereka yang mabuk semasa memandu.
“Pusat ujian mudah alih BEA membolehkan TP untuk mendapatkan bukti pernafasan daripada pemandu disyaki mabuk dalam masa sepantas mungkin.
“Pemandu yang memilih untuk memandu selepas minum alkohol perlu bersedia berdepan dengan akibat daripada tindakan mereka,” kata ASP Alex.
Laporan lanjut di Muka 2


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg