Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

'Orang lama', peranan Muslimah jadikan masjid kekal relevan

Feb 26, 2021 | 5:30 AM
ANGGOTA JAWATANKUASA PEMBINAAN MASJID AL-AMIN: 'Orang lama' yang memainkan peranan penting dalam pembinaan masjid itu. Ia dipengerusikan oleh Ustaz Haji Mofradi Md Noor (duduk, tengah). - Foto-foto MASJID AL-AMIN
ANGGOTA JAWATANKUASA PEMBINAAN MASJID AL-AMIN: 'Orang lama' yang memainkan peranan penting dalam pembinaan masjid itu. Ia dipengerusikan oleh Ustaz Haji Mofradi Md Noor (duduk, tengah). - Foto-foto MASJID AL-AMIN -

TIADA apa yang lebih penting dalam usaha peningkatan sesebuah masjid, selain memberi manfaat kepada para jemaah itu sendiri.

Peka dengan manfaat tersebut, kini Masjid Al-Amin sedang berada dalam proses mencukupkan dana untuk peningkatan seluruh bangunan.

Peningkatan ini penting agar Masjid Al-Amin mampu kekal relevan dengan kemudahan terbaik, termasuklah pembaikan bumbung, penukaran sistem, pembaharuan dewan solat dan sebagainya.

Mengambil iktibar daripada peranan masyarakat terdahulu, Pengerusi Eksekutif Masjid Al-Amin, Encik Jameel Yahya, menceritakan:

"Saya ada berbual dengan salah seorang pemimpin veteran di Masjid Al-Amin iaitu Mejar Maser dan terbaca juga majalah lama dari Masjid Al-Amin tentang usaha jawatankuasa pembinaan masjid yang diketuai oleh Allahyarham Ustaz Mofradi Md Noor.

"Pada waktu itu, jawatankuasa pembinaan masjid sangat aktif mengumpul dana daripada penduduk untuk memenuhi segala kelengkapan dan keperluan.

"Selepas 10 tahun, barulah usaha membina Masjid Al-Amin tercapai dan ia menjadi bukti keprihatinan penduduk setempat yang menyumbangkan dana sehingga masjid berjaya didirikan."

Menurutnya usaha asal ini memberikan semangat kepada pihak masjid untuk menggalas amanah yang dipertanggungjawabkan oleh jemaah terdahulu bagi menjaga dan menaik taraf Masjid Al-Amin yang terletak di Telok Blangah itu.

Ikhtiar peningkatan masjid dan pemerkasaan masyarakat yang berterusan akan membolehkan Masjid Al-Amin terus bertahan untuk 30 tahun akan datang dan selamanya demi generasi masa hadapan, kata Encik Jameel.

Sehubungan dengan itu, peranan Muslimah Masjid Al-Amin turut menyuburkan suasana jemaah di masjid itu sendiri.

Salah seorang jemaah Muslimah Masjid Al-Amin, Cik Habibah, menyatakan sebelum kemunculan pandemik, jemaah Muslimah sangat aktif dalam kerja-kerja sukarela, menyokong program masjid dan mengadakan jualan meriah pada setiap hari Jumaat untuk para jemaah.

"Sejujurnya, jemaah Muslimah sangat rapat dengan penduduk sehingga kami memasak sendiri untuk acara-acara seperti korban, majlis berbuka puasa, sambutan Hari Raya dan sebagainya.

"Namun, kekangan Covid-19 memaksa jemaah Muslimah untuk 'berehat' buat sementara waktu dan kami sangat terkesan dengan segala penangguhan aktiviti akibat penutupan masjid.

"Tetapi kini, jemaah Muslimah sudah boleh kembali menyertai kuliah dan syarahan di masjid dengan kebenaran pihak berkuasa.

"Alhamdulillah, kami sudah bersedia untuk kembali menyumbangkan tenaga di Masjid Al-Amin. Terkini, para Muslimah terlibat dengan aktiviti mengait penyambung pelitup muka (mask extender) dan menjualnya untuk tujuan pengumpulan dana. Orang ramai juga digalakkan menderma bagi membantu memperkukuh dana bangunan masjid," kata Cik Habibah.

Sebelum ini, Masjid Al-Amin telah meneroka pelbagai usaha untuk mencari dana bagi projek peningkatannya dengan iaitu menjual penyambung pelitup muka yang dikait sendiri dengan tangan.

Mereka mengait penyambung pelitup itu di rumah masing-masing dengan beberapa kumpulan mengait, memotong serta memasangkan butang kepada penyambung pelitup muka itu.

"Pada waktu itu, jawatankuasa pembinaan masjid sangat aktif mengumpul dana daripada penduduk untuk memenuhi segala kelengkapan dan keperluan. Selepas 10 tahun, barulah usaha membina Masjid Al-Amin tercapai dan ia menjadi bukti keprihatinan penduduk setempat yang menyumbangkan dana sehingga masjid berjaya didirikan." - Pengerusi Eksekutif Masjid Al-Amin, Encik Jameel Yahya.

CARA MENYUMBANG

Sumbangan boleh dibuat melalui cara-cara berikut:

- melalui pemindahan wang ke akaun semasa DBS dengan nombor 012-009859-6 atau Paynow UEN No: S91MQ0008B001.

- Masyarakat juga boleh menyampaikan derma secara langsung ke masjid (waktu pejabat) atau dari rumah dengan menghubungi 6272-5309.

- Selain itu, orang ramai juga disarankan menderma dengan mendapatkan Kupon Ayam Goreng Amal Arnold atau Tabung Tin Amal Keluarga untuk diletak di rumah (wakaf).

- Sila lungsuri https://alaminmosque.mimbar.sg/organization/168?p=infaq untuk menghulurkan infak atau wakaf anda ke Masjid Al-Amin.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg