Masyarakat Orang Laut, salah satu golongan asli Singapura, telah diberi kebenaran untuk menambat bot mereka dan menyimpan peralatan memancing di sebuah tapak di luar Taman West Coast, di samping pemilik bot berlesen yang lain, kata Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee.
Menyatakan demikian di Parlimen pada 16 Oktober, beliau berkongsi bahawa pemerintah akan terus menyepadukan elemen penerapan warisan ke dalam rancangan pembangunan dan meneroka cara untuk memperingati identiti masyarakat masing-masing dan sesebuah kawasan.
Beliau menyatakan demikian sebagai menjawab soalan Encik Sharael Taha (GRC Pasir Ris-Punggol), yang bertanya tentang usaha yang akan diambil pemerintah untuk terus meraikan kekayaan warisan budaya masyarakat orang asli di Singapura seperti Orang Laut.
Encik Lee berkata: “Sekiranya dapat dilaksanakan, pemerintah akan menyepadukan elemen kepentingan warisan ke dalam rancangan dan meneroka cara kreatif untuk memperingati warisan dan identiti sesebuah kawasan, seperti melalui (penerapan) reka bentuk bandar dan jejak warisan.
“Pihak agensi (di sini) akan terus melibatkan masyarakat tempatan, seperti dengan semua pihak berkepentingan, bagi memastikan pembangunan dilaksanakan secara sensitif dan menyediakan ruang masyarakat yang sesuai, jika dapat dilaksanakan.”
Menjawab soalan susulan Encik Sharael, Encik Lee menambah bahawa pihaknya sedang berkomunikasi dengan golongan asli Singapura, seperti Orang Laut SG – kumpulan yang ditubuhkan pada 2020 untuk menghidupkan semula cerita masyarakat Orang Laut – untuk meneroka beberapa idea bagi meraikan warisan golongan asli sedemikian dengan menerapkannya dalam rancangan pembangunan.
Encik Sharael bertanya sekiranya pihak kementerian dapat mempertimbangkan mengadakan jejak warisan dalam rancangan pembangunan di daerah perairan di selatan Singapura atau Taman West Coast, dengan orang awam boleh menghargai budaya golongan asli seperti Orang Laut.
Dalam satu laporan akhbar ini pada 19 Disember, pengasas Orang Laut SG, Encik Firdaus Sani, berkongsi bahawa sebahagian besar Orang Laut di sini suatu ketika dahulu bertapak di Pulau Semakau – yang kini lebih dikenali ramai sebagai tapak pelupusan sampah – dan kepulauan di selatan Singapura.
“
“Sekiranya dapat dilaksanakan, pemerintah akan menyepadukan elemen kepentingan warisan ke dalam rancangan dan meneroka cara kreatif untuk memperingati warisan dan identiti sesebuah kawasan, seperti melalui (penerapan) reka bentuk bandar dan jejak warisan.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg