
ORANG lebih muda akan diundang menerima vaksinasi Covid-19 dari separuh kedua Mei, tetapi undangan itu akan dikeluarkan bagi jalur usia lebih kecil kerana bekalan vaksin yang terhad, kata Menteri Kesihatan Encik Gan Kim Yong.
Menyampaikan Kenyataan Menteri mengenai tindak balas Singapura terhadap pandemik, Encik Gan berkata sekitar 1.8 juta individu telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin sehingga 9 Mei.
Ini termasuk sekitar 1.2 juta yang telah menerima dos kedua dan melengkapkan rejimen vaksinasi mereka.
Encik Gan, yang juga pengerusi bersama pasukan bertindak berbilang kementerian bagi menangani pandemik di sini, berkata sekitar dua pertiga orang yang layak menerima vaksin dari kumpulan yang berusia 45 tahun dan ke atas telah mendapatkan vaksinasi Covid-19, atau menempah janji temu bagi vaksinasi.
Namun beliau berkata jumlah ini masih belum mencukupi dan menggesa lebih ramai orang menggalak golongan lebih berusia untuk mendapatkan vaksinasi.
"Bilangan orang yang mendapatkan vaksinasi menggalakkan... tapi kita perlu terus menggalak orang lebih berusia untuk mendapatkannya juga, kerana memandangkan usia mereka, mereka adalah yang paling terdedah kepada jangkitan.
"Saya gesa kita semua menggalak anggota keluarga lebih berusia untuk mendapatkan vaksinasi," kata Encik Gan.
Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan yang diajukan beberapa Anggota Parlimen (AP), termasuk Cik Foo Mee Har (GRC West Coast) dan Cik Ng Ling Ling (GRC Ang Mo Kio) yang telah meminta kemas kini mengenai program vaksinasi di Singapura yang bermula sejak tahun lalu.
Anggota dewan lain, seperti Encik Louis Ng (GRC Nee Soon) turut bertanya sama ada program vaksinasi boleh melibatkan kanak-kanak berusia bawah 16 tahuun.
Encik Gan berkata vaksin Pfizer-BioNTech dan Moderna, masing-masing telah diluluskan untuk digunakan oleh individu berusia 16 tahun dan 18 tahun dan ke atas.
Menambah, Encik Gan berkata maklumat awal yang diberikan oleh kededua penghasil vaksin itu tidak memuatkan data mengenai penggunaannya dalam kalangan individu lebih muda.
Namun, baru-baru ini, Pfizer telah menyerahkan data tambahan kepada Penguasa Sains Kesihatan (HSA) untuk menilai sama ada vaksin yang dihasilkannya itu memenuhi keperluan keselamatan dan keberkesanan supaya boleh digunakan oleh remaja berusia antara 12 tahun dengan 15 tahun.
Encik Gan berkata HSA sedang meneliti data itu dan akan berbuat demikian juga bagi vaksin Moderna apabila data itu diberikan kepada agensi pemerintah itu.
"Kami akan berkongsi butiran lanjut apabila ia ada. Bagi kanak-kanak berusia bawah 12 tahun pula, ujian klinikal sedang dijalankan dan lebih banyak masa diperlukan sebelum data yang mencukupi boleh dijana," kata beliau.
Hanya dua vaksin - Pfizer-BioNTech dan Moderna - diluluskan untuk digunakan di sini.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg