Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Orang ramai diminta terus derma darah walau musim Tahun Baru Cina

Feb 4, 2024 | 8:17 PM
Orang ramai memberi sambutan menggalakkan pada rayuan menderma darah kumpulan O+ yang ketandusan.
Orang ramai memberi sambutan menggalakkan pada rayuan menderma darah kumpulan O+ yang ketandusan. - Foto FACEBOOK ENCIK ONG YE KUNG

Bekalan darah kumpulan O+ yang kekurangan menampakkan peningkatan hampir 230 peratus selepas permohonan pada 25 Januari agar orang ramai tampil menderma.

Bagaimanapun, warga Singapura digesa agar meneruskan usaha murni menderma darah sebelum dan selepas musim perayaan Tahun Baru Cina yang bakal menjelang.

Dalam satu kenyataan bersama pada 4 Februari, Palang Merah Singapura (SRC) dan Penguasa Sains Kesihatan (HSA) berkata bekalan darah biasanya turun 20 peratus sewaktu musim perayaan dan cuti hujung minggu yang panjang.

“Justeru, wujud kemungkinan merosotnya bekalan darah kumpulan O, khususnya pada dua minggu pertama menyusuli Tahun Baru Cina, jika momentum yang ada kini tidak diteruskan,” jelas SRC dan HSA.

Kenyataan bersama itu menambah bahawa darah mempunyai jangka hayat yang singkat selama enam minggu untuk sel darah merah dan hanya tujuh hari untuk platelet.

Ketua Eksekutif HSA, Dr Mimi Choong May Ling, menyeru orang ramai supaya terus menderma darah sebelum dan selepas Tahun Baru Cina bagi menambah bekalan darah di Singapura.

“Derma tetap anda adalah penting untuk memastikan kami sentiasa mempunyai tampungan sekurang-kurangnya sembilan hari untuk bertindak balas terhadap sebarang kecemasan sivil atau perubatan di Singapura,” katanya.

HSA dan SRC juga mengucapkan terima kasih kepada 5,300 penderma yang menyahut rayuan untuk menderma darah kumpulan O+ pada 25 Januari.

Rayuan itu dibuat kerana bekalan darah yang sangat rendah untuk jenis darah O+ dan O-.

Sebagai kumpulan darah universal, darah kumpulan O diperlukan semasa kecemasan seandainya kumpulan darah pesakit tidak diketahui.

Tambahan pula, hampir separuh daripada semua pesakit di Singapura mempunyai darah kumpulan O dan hanya boleh menerima jenis darah ini.

Dalam hantaran di Facebook pada 4 Februari, Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, berterima kasih kepada orang ramai dan menganggap respons mereka terhadap rayuan yang dibuat itu sebagai “meluas dan menggalakkan”.

Menurutnya, penderma darah yang tampil adalah daripada pelbagai latar belakang termasuk yang muda atau tua, lelaki dan wanita, warga Singapura dan warga asing, kakitangan awam, karyawan, peniaga, seniman dan ramai lagi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg