Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Orang ramai tidak putus beri kata sokongan selepas Alex Ferguson jalani pembedahan kecemasan

May 6, 2018 | 8:02 PM
BERANSUR PULIH: Ferguson kini beransur pulih selepas menjalani pembedahan kecemasan akibat pendarahan otak semalam.
BERANSUR PULIH: Ferguson kini beransur pulih selepas menjalani pembedahan kecemasan akibat pendarahan otak semalam. - Foto REUTERS

LONDON: Orang ramai tidak putus-putus menyampaikan kata-kata sokongan dan ucapan selamat kepada Alex Ferguson selepas mantan pengurus legenda Manchester United itu menjalani pembedahan kecemasan bagi pendarahan otak semalam (5 Mei).

Berita tentang pembedahan itu diumumkan kelab lamanya, dengan satu kenyataan oleh United yang positif tentang keadaan Ferguson yang berusia 76 tahun itu.

Beliau kini sedang beransur pulih di hospital.

"Sir Alex Ferguson telah menjalani pembedahan kecemasan... bagi pendarahan otak.

"Prosedurnya berjalan sangat lancar tetapi beliau memerlukan penjagaan intensif agar beliau dapat pulih dengan baik. Keluarganya meminta agar dapat diberi privasi dalam hal ini," menurut kenyataan itu.

Menurut akhbar Daily Mail, ambulans tiba di rumahnya di Cheadle, dekat Manchester, sekitar 9 pagi waktu tempatan (4 petang waktu Singapura) semalam dan membawanya ke hospital daerah Macclesfield.

Ferguson yang merupakan pengurus paling berjaya dalam sejarah bola sepak Britain kemudian dipindahkan ke Hospital Salford Royal dengan diiringi polis.

Kebimbangan tentang keadaan kesihatan Ferguson timbul apabila anaknya, Darren, yang merupakan pengurus kelab bola sepak Doncaster tidak dapat hadir bagi satu perlawanan kelabnya menentang Wigan semalam disebabkan "hal keluarga".

Pengurus beberapa kelab bola sepak lain di Britain termasuk pengurus Everton, Sam Allardyce, turut memberi ucapan selamat kepada Ferguson.

David Beckham, yang merupakan antara pemain berprofil tinggi yang pernah diuruskan Ferguson di Old Trafford, juga antara pemain dan bekas pemain United yang memberi kata sokongan kepada mantan pengurus itu, yang mereka gelarkan sebagai "bos" menerusi media sosial.

Ferguson bersara lima tahun lalu apabila beliau mengundur diri sebagai pengurus United.

Beliau berada di Old Trafford minggu lalu untuk menyampaikan cenderahati kepada Arsene Wenger, yang mengundur diri sebagai pengurus Arsenal di akhir musim lalu. - AFP

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg