Rakyat Singapura akan dapat menikmati pelbagai aktiviti air di Marina Bay apabila Persatuan Rakyat (PA) membuka cawangan atau ‘outpost’ pertama PAssion Wave di kawasan Bayfront pada 2025.
Mereka boleh menyertai aktiviti berkumpulan seperti berkayak, menaiki bot kayuh, dan berdayung bot naga di lokasi baru tersebut, sambil menikmati pemandangan di sepanjang pesisiran, lapor The Straits Times.
Kawasan tersebut akan terletak di Persiaran Di Pesisiran Marina Bay di hadapan Muzium Red Dot, dan hanya sejauh empat minit apabila berjalan kaki dari tiga stesen MRT yang berbeza – Bayfront, Downtown, dan Marina Bay.
Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia) Encik Zaqy Mohamad menghadiri majlis di persiaran itu pada 14 September untuk menandakan pengumuman mengenai kemudahan tersebut.
Beliau berkata bahawa kemudahan baru ini akan menambah keceriaan dan mengubah Marina Bay.
“Kami sedang mencipta satu ruang dinamik yang mana rakyat Singapura dari semua lapisan masyarakat, termasuk mereka yang bekerja di kawasan perniagaan, akan mempunyai akses langsung kepada kegiatan rekreasi seperti berkayak dan mendayung bot naga di perairan ini.”
Pada masa ini, terdapat enam cawangan PAssion Wave yang mana penduduk boleh menyewa peralatan dan menyertai aktiviti seperti berakit di laut, belayar, luncur angin, dan panjat tebing.
Cawangan-cawangan tersebut terletak di Bedok Reservoir, Marina Bay dan Taman Tasik Jurong serta di tepi pantai di East Coast, Pasir Ris, dan Sembawang.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg