Persatuan Rakyat (PA) telah menyumbang $250,000 bagi menyokong Cabaran Presiden, yang menyasarkan memberi sokongan kepada penjaga pesakit pada 2023.
Pada Ahad, Presiden Halimah Yacob menerima cek sumbangan itu daripada PA di Kelab Masyarakat Hong Kah North, semasa satu acara yang dianjurkan untuk 50 penjaga.
Dalam satu kenyataan, PA berkata ia telah bekerjasama dengan rakan masyarakat untuk menyokong penjaga dengan lebih baik.
Penjaga yang menjaga orang yang mempunyai masalah kesihatan mental akan disokong dengan bantuan kukuh dalam masyarakat tempatan.
Antara lain, Rangkaian Integrasi Wanita (WIN), sebuah pertubuhan di bawah PA, telah bekerjasama dengan Majlis Khidmat Sosial Kebangsaan (NCSS) dan Caregivers Alliance Limited (CAL) untuk melancarkan Rangkaian Penjaga WIN pada 2022 di enam tapak perintis.
Hong Kah North adalah salah satu daripadanya.
“Rangkaian ini memudahkan sokongan rakan sebaya berasaskan masyarakat bagi penjaga pesakit.
“Ia bertujuan menyediakan sokongan sosial dan emosi serta merapatkan jurang antara penjaga dengan sumber dalam masyarakat,” kata PA.
Sejak 2022, lebih 150 penjaga pesakit telah menghadiri program latihan yang dianjurkan oleh CAL. PA berkata lebih 80 orang telah menyertai kumpulan sokongan itu.
Di acara itu, Presiden Halimah dan Menteri Negara Kanan (Kemampanan dan Sekitaran merangkap Pengangkutan), Dr Amy Khor, yang merupakan Anggota Parlimen (AP) Hong Kah North, beramah-tamah bersama 50 penjaga yang sedang mengambil bahagian dalam kegiatan anjuran kakitangan PA.
PA berkata penjaga pesakit di Hong Kah North yang menyertai rangkaian itu telah menjadi tenaga pengajar yang membantu menjalankan dan mentadbir program tersebut.
Cabaran Presiden 2022 mengumpul jumlah rekod $16.9 juta – tertinggi sejak kempen tahunan itu dimulakan pada 2000.
Dana itu menyokong 82 agensi perkhidmatan sosial, termasuk Khidmat Masyarakat Fei Yue dan Rumah Tumpangan Pertapis.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg