Walaupun dibesarkan di flat sewa di Toa Payoh semasa kecil, ia tidak pernah menghambat pakar jantung kanan, Profesor Madya Dr Abdul Razakjr Omar, 54 tahun, daripada mencapai kecemerlangan dalam apa jua yang beliau lakukan.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Specialist Care Group (SCG) itu merupakan doktor Melayu/Islam pertama yang menerima Anugerah Merit Persatuan Perubatan Singapura (SMA) 2024.
Bagaimanakah penerima Anugerah Jauhari Berita Harian 2013, Dr Abdul Razakjr, ‘memecahkan siling kaca’ untuk menjadi pakar jantung Melayu/Islam pertama pada usia 35 tahun?
Apakah halangan dan rintangan yang beliau mungkin lalui dalam perjalanan kerjaya dari awal hingga berjaya menjadi seorang CEO?
Apakah pengalaman dan nasihat kehidupan dan kerjaya yang boleh dikongsi kepada anak-anak muda sebagai pengajaran?
Ikutilah satu sesi istimewa, Siri Jauhari yang dianjurkan oleh akhbar Berita Harian (BH) dan wadah berita BH bagi golongan muda, OMGXBH, yang akan diadakan pada 26 Julai.
Sesi perkongsian inspirasi untuk golongan muda itu bertujuan membolehkan pemenang Anugerah Jauhari Berita Harian mengongsi kejayaan kehidupan dan kerjaya mereka bersama golongan muda sebagai inspirasi dan dorongan.
BH menganjurkan Anugerah Jauhari secara tahunan sejak 25 tahun lalu bagi mengiktiraf sumbangan individu dalam masyarakat Melayu/Islam yang cemerlang.
Antara Siri Jauhari bulanan yang telah dianjurkan pada Mei dan Jun termasuk sesi bersama penerima Anugerah Jauhari Berita Harian, mantan Presiden Puan Halimah Yacob, dan mantan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bank of Singapore, Encik Bahren Shaari.
Dalam sesi perkongsian bertajuk ‘Atasi Rasa Takut: Keluar Dari Zon Keselesaan’, Dr Abdul Razakjr akan berkongsi pengalaman beliau memulakan kerjayanya sebagai seorang doktor di hospital awam dan bagaimana beliau merebut setiap peluang untuk cemerlang dalam kerjayanya.
Beliau juga akan berkongsi cabaran yang dihadapinya serta bagaimana beliau berusaha keluar dari zon keselesaan bagi menempuh kehidupan dan kerjayanya.
Seperti sesi yang lalu, sesi itu akan diadakan secara percuma. Siri Jauhari itu disokong oleh unit maklum balas pemerintah, Reach.
Ia dibuka bagi semua golongan muda, khususnya, pelajar posmenengah dan pengajian tingggi serta karyawan, pengurus, eksekutif dan teknisyen (PMET) muda.
Sesi itu akan dijalankan secara santai di kafe (working title) di 1 McNally Street, Blok D, #01-01, Maktab Seni LaSalle pada 26 Julai, 7.30-9.30 malam.
Jamuan makan dan ruang solat disediakan.
Untuk pendaftaran, sila isi borang https://go.gov.sg/omgxbh-26july
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg