JUMLAH kes jangkitan Covid-19 secara keseluruhan di Singapura boleh mencecah sehingga 30,000 atau 40,000 pada April, namun langkah-langkah bagi membendung penyebaran virus itu akan memastikan keadaan itu tetap terkawal, kata beberapa pakar kepada The Straits Times pada Khamis (7 Mei).
Profesor Madya, Dr Alex Cook, naib-dekan bagi kajian di Sekolah Kesihatan Umum Saw Swee Hock di Universiti Nasional Singapura (NUS) berkata bahawa sedang jumlah kes setempat secara keseluruhan kian meningkat, bilangannya sudah mulai menjadi stabil.
"Ini merupakan tanda kemungkinan kita telah berjaya meratakan kadar peningkatan jangkitan - jumlah kes kian meningkat tetapi naik dengan cara yang terkawal," kata Dr Cook, seorang pakar penyakit berjangkit yang sebelum ini menjangkakan bahawa jumlah jangkitan boleh mencecah 10,000 atau 20,000 pada akhir April lalu.
Sejak Singapura mencatatkan kes pertamanya pada 23 Januari, ia mengambil kira-kira 13 minggu untuk melepasi jumlah kes sebanyak 10,000 pada 22 April lalu.
Perangkaan itu meningkat dua kali ganda dalam tempoh yang lebih cepat sejak dua minggu lalu untuk melebihi 20,000 kes secara keseluruhan pada Rabu (6 Mei), sedang pekerja asing yang tinggal di dormitori mengambil bahagian besar jumlah kes yang dilaporkan sehingga kini.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg