SEDANG Singapura bersiap sedia menangani hingga 5,000 kes baru jangkitan Covid-19 sehari, warga emas perlu mengambil langkah berjaga-jaga tambahan dan kurangkan kegiatan di luar rumah, menurut beberapa pakar perubatan.
Mereka mengulangi gesaan Menteri Kesihatan Ong Ye Kung kelmarin agar warga emas mengambil langkah berjaga-jaga sedang kes Covid-19 semakin meningkat.
Jumlah kes baru jangkitan Covid-19 boleh mencapai 5,000 kes sehari dalam dua minggu, dengan warga emas menghadapi risiko lebih tinggi mengalami komplikasi kesihatan yang serius jika dijangkiti dengan koronavirus itu.
Pengasas bersama sebuah klinik pakar di Pusat Perubatan Mount Elizabeth, Specialist Care Group, Profesor Madya Dr Abdul Razakjr Omar, berkata ini tidak mengejutkan bagi tempat yang didiami ramai penduduk dan dengan virus yang mudah berjangkit.
Oleh itu, setiap orang perlu memainkan peranan untuk mengurangkan jumlah kes jangkitan di sini dan mengelak daripada menyebabkan sistem penjagaan kesihatan negara terlalu tertekan.
"Warga emas dinasihatkan kurangkan keluar rumah kerana walaupun sudah divaksinasi, tubuh mereka mungkin tidak dapat menangani jangkitan Covid-19.
"Mereka juga mungkin menghidap masalah kesihatan seperti penyakit jantung, kencing manis dan lain-lain lagi, dan tubuh mereka akan menjadi lebih tertekan jika dijangkiti Covid-19 hingga mungkin perlu dirawat di unit jagaan rapi (ICU) atau terkorban akibatnya," kata Dr Abdul Razakjr.
Beliau menambah mereka harus meningkatkan kebersihan peribadi termasuk dengan kerap membersihkan tangan, membasuh cermin mata selepas pulang ke rumah, mandi sekurang-kurangnya dua kali sehari, mengelak daripada menyentuh muka mereka dan tidak pergi ke tempat yang mempunyai ramai orang.
Dari 1 Mei hingga 1 Oktober, majoriti pesakit Covid-19 di ICU berusia 60 tahun ke atas. Paling berisiko merupakan mereka yang tidak mendapat suntikan.
"Kami meminta pemahaman anda untuk tahan dan bekerjasama agar kita dapat lalui gelombang ini dengan kebebasan dan rasa optimis yang baru,'' ujar Encik Ong, dalam sidang akhbar oleh Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian (MTF) bagi menangani Covid-19 kelmarin.
Jumaat lalu, Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) menggesa warga emas agar mengelakkan daripada makan di pusat penjaja, sebaliknya membeli makanan untuk dibawa pulang.
Minggu lalu juga, Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC) menasihatkan warga emas dan ahli keluarga mereka agar duduk di rumah selama empat minggu akan datang sementara menunggu keadaan Covid-19 menjadi stabil.
Pengarah Khidmat Klinikal Hospital Mount Alvernia, Dr Djoni Huang, berkata warga emas yang ingin keluar bersenam misalnya harus pergi ketika tidak ramai orang berada di luar dan mengurangkan masa yang mereka habiskan di luar.
"Semasa bersenam, warga emas harus mengelak daripada senaman impak tinggi supaya tidak perlu membuka pelitup.
"Selain memastikan jarak selamat dua meter dengan orang lain, mereka juga harus kurangkan bercakap dengan orang lain dan mengehadkannya kepada kurang lima minit jika perlu. Mereka juga harus makan makanan sihat agar membina imuniti," ujar Dr Huang sambil menambah, nasihat ini perlu diikut golongan muda juga, khususnya yang tinggal bersama warga emas.
Sekiranya mereka memerlukan bekalan ubat tambahan bagi keadaan kronik mereka itu, mereka harus mendapatkan bantuan ahli keluarga untuk mengambilnya atau meminta klinik menghantarkan ubat itu kepada mereka untuk mengelak daripada ke klinik sendiri kecuali benar-benar perlu dan sakit.
Masjid seperti Masjid Jamiyah Ar-Rabitah tidak mengadakan kelas fizikal yang sepatutnya diadakan semalam.
"Demi menjaga keselamatan dan kemaslahatan umum terutama sekali warga emas, kelas-kelas fizikal akan ditutup buat sementara waktu,'' ujar masjid itu melalui catatan di media sosial.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg