PROTOKOL ujian Covid-19 yang diumumkan pemerintah Sabtu lalu telah mengurangkan kekeliruan di kalangan orang ramai serta lebih jelas dan mudah difahami, menurut doktor setempat.
Protokol itu juga bermakna setiap orang harus meningkatkan tanggungjawab sosial mereka untuk sama-sama menjayakan usaha ini, tambah mereka.
Protokol 1-2-3 yang merangkumi tiga protokol bagi hampir setiap keadaan itu juga dapat menghapuskan tanggapan bahawa Covid-19 satu penyakit yang menakutkan sedang Singapura beralih ke fasa endemik Covid-19 dan meneruskan strategi hidup dengan virus itu, menurut doktor yang dihubungi Berita Harian (BH) semalam.
Protokol 1-2-3 itu menggariskan langkah yang perlu diambil orang ramai sekiranya sakit, sihat tetapi diuji positif bagi Covid-19 dan diberitahu Kementerian Kesihatan (MOH) bahawa mereka kontak rapat kes Covid-19.
Sekiranya sakit, mereka harus berjumpa dengan doktor dan jika diuji positif, asingkan diri di rumah dan nantikan arahan lanjut daripada MOH mengenai prosedur pemulihan.
Namun sekiranya sihat tetapi disahkan positif bagi Covid-19 atau merupakan kontak rapat, protokol itu memerlukan orang ramai mengasingkan diri dan menjalani Ujian Pantas Antigen (ART) sendiri, dengan kit ART itu boleh didapatkan dari mesin swalayan di serata negara (gowhere.gov.sg/art).
Pengarah Khidmat Klinikal Hospital Mount Alvernia, Dr Djoni Huang, berkata langkah itu akan mengurangkan sumber yang diperlukan bagi operasi ujian ini dan membolehkan orang ramai berkongsi tanggungjawab ini bersama.
"Pastinya ada keprihatinan yang mungkin timbul sedang kami menjangkakan lebih banyak kes pada masa akan datang, tapi protokol ini adalah wajar buat masa ini.
"Kami akan hidup dengan Covid-19 dan ini adalah norma baru. Sedang kita hidup dengan Covid-19, semua orang juga perlu belajar mengambil tanggungjawab sendiri," ujarnya.
Dengan protokol yang dikemas kini, pakar perbidanan dan sakit puan Pusat Pakar Pacific Healthcare, Dr Nurhidayati Mohamed Suphan, berkata orang ramai kini tidak perlu dibelenggu dengan pelbagai peraturan berbeza sekiranya mereka dikenakan perintah kuarantin (QO), perintah pengasingan (IO), Amaran Risiko Kesihatan (HRW) atau Kewaspadaan Risiko Kesihatan (HRA).
Sebelum ini, terdapat beberapa langkah yang diberikan berdasarkan taraf risiko kontaknya.
Sekarang, MOH menerapkan hanya satu langkah bagi kontak rapat kes Covid-19, iaitu HRW.
Mereka yang mendapat arahan HRW hanya perlu membuat ujian kendiri ART selama tujuh hari. Jikalau ujian ART negatif, mereka boleh keluar pada hari tersebut.
"Sebelum ini, ramai yang menjalani QO termasuk pekerja penjagaan kesihatan terjejas dan tidak boleh pergi ke kerja sekiranya mereka tinggal serumah dengan individu yang dijangkiti Covid-19.
"Ini akan menjejas tenaga kerja jika ramai daripada mereka dikenakan QO walaupun diuji negatif bagi Covid-19 menerusi ART.
"Tetapi sekarang, mereka dibenarkan pergi kerja jika ujian ART mereka negatif pada hari tersebut," kata Dr Nurhidayati.
Malah menurut doktor keluarga, Dr Elly Sabrina Ismail, langkah membolehkan pekerja penjagaan kesihatan, khususnya di klinik swasta, terus berkhidmat meskipun mereka merupakan kontak rapat namun diuji negatif Covid-19 akan memberi lebih ruang dan memastikan tenaga pekerja penjagaan kesihatan tidak kekurangan.
Tambahnya, pekerja penjagaan kesihatan juga memakai peralatan perlindungan peribadi (PPE) penuh dan menjalani rejim ujian rutin berjadual (RRT) walaupun dengan diuji negatif bagi Covid-19.
Dr Elly berkata orang ramai juga harus memainkan peranan masing-masing dengan mengamalkan tanggungjawab sosial mereka dan antara lain berjumpa dengan doktor jika tidak sihat.
Sekiranya tidak pasti akan simptom yang mereka alami, beliau menasihatkan mereka menjalani ART sendiri bagi ketenangan minda, serta mengesahkan mereka tidak dijangkiti Covid-19 dan tidak akan menjangkiti orang lain apabila mereka keluar.
"Usaha ini akan berkesan jika semua orang sentiasa berfikir mereka tidak mahu menjangkiti ibu bapa atau datuk nenek orang lain.
"Dengan ini, kita sudah menjalankan tanggungjawab kita... dan diharapkan kita dapat mencapai tahap norma baru tanpa terlalu ramai nyawa yang terkorban," ujar Dr Elly, yang mengendalikan Banyan Clinic di Woodlands.
Sementara itu, beliau turut menggesa orang ramai yang layak mendapatkan suntikan penggalak untuk segera mendapatkannya kerana vaksinasi terbukti senjata paling penting dalam usaha memerangi Covid-19 ini serta mematuhi segala langkah pengurusan selamat dengan rapat.
"Pastinya ada keprihatinan yang mungkin timbul sedang kami menjangkakan lebih banyak kes pada masa akan datang, tapi protokol ini adalah wajar buat masa ini. " - Pengarah Khidmat Klinikal Hospital Mount Alvernia, Dr Djoni Huang.
"Sebelum ini, ramai yang menjalani QO termasuk pekerja penjagaan kesihatan terjejas dan tidak boleh pergi ke kerja sekiranya mereka tinggal serumah dengan individu yang dijangkiti Covid-19.
...Tetapi sekarang, mereka dibenarkan pergi kerja jika ujian ART mereka negatif pada hari tersebut." - Pakar perbidanan dan sakit puan Pusat Pakar Pacific Healthcare, Dr Nurhidayati Mohamed Suphan.
"Usaha ini akan berkesan jika semua orang sentiasa berfikir mereka tidak mahu menjangkiti ibu bapa atau datuk nenek orang lain.
Dengan ini, kita sudah menjalankan tanggungjawab kita..." - Doktor keluarga, Dr Elly Sabrina Ismail.
INFOGRAFIK: Protokol kesihatan


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg