Buaya muara, atau buaya 'air masin', pada 1996, diisytihar pupus di Singapura oleh Kesatuan Antarabangsa untuk Pemeliharaan Alam.
Namun, buaya itu kini mungkin telah kembali ke Singapura.
Bercakap kepada akhbar The Straits Times, pakar pemeliharaan sekitaran liar Cik Kate Pocklington berkata sekurang-kurangnya 20 buaya muara berada di Singapura pada masa ini. Tambah beliau, kebanyakan buaya ini berada di Sungei Buloh.
Bulan lalu, pihak berkuasa menangkap seekor buaya di Kolam Air Lower Seletar, tidak lama selepas ia dikesan dan dilapor kepada pihak berkuasa. Buaya itu berjaya ditangkap dan dilepaskan di kawasan terpencil di Paya Simpanan Sungei Buloh - yang tidak boleh dimasuki awam - sebagai langkah keselamatan. Kolam air itu popular dalam kalangan pemancing dan pendayung.
Beberapa video yang menunjukkan buaya di Sungei Buloh juga disebar luar di media sosial tahun lalu.
Beberapa pemerhati yang berkongsi pandangan dengan ST berkata buaya muara itu berpindah dari kawasan perairan Malaysia di Selat Johor ke perairan Singapura, selepas tempat kediaman mereka dijejas kerja binaan.
Namun mereka akur perkara itu sukar diberi pengesahan kerana adalah sukar untuk menjejak pergerakan buaya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg