Topik diikuti
Pergi ke BHkuPakar tentera ketuai pasukan pastikan kenderaan beroda siap operasi
Pasukan 12 anggota senggara kenderaan SAF dengan bekalan alat ganti terhad
Pakar tentera ketuai pasukan pastikan kenderaan beroda siap operasi
Sebagai Pegawai Bertanggungjawab (OIC) bagi Kenderaan Beroda untuk Latihan Wallaby (XWB) 2026, Pakar Tentera 2 (ME2) Muhammad Nor Farid Shamsudin, mengetuai pasukan seramai 12 anggota.
Mereka bertanggungjawab memastikan kenderaan beroda Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) sentiasa berada dalam keadaan siap beroperasi sepanjang latihan itu.
Beliau dan pasukannya bertugas di bengkel penyenggaraan di Kem Tilpal, yang terletak di Kawasan Latihan Shoalwater Bay (SWBTA), Queensland, Australia.
Tugas harian mereka bermula seawal 6 pagi dan boleh berlanjutan sehingga 10 malam.
Ketika ditemui Berita Harian (BH) di kem tersebut pada 25 Oktober, ME2 Nor Farid, 34 tahun, berkata beliau tiba di Australia pada Ogos, beberapa minggu sebelum XWB 2026 bermula pada 6 September dan berakhir pada 2 November.
Ini kerana beliau merupakan sebahagian daripada Kumpulan Sokongan Hadapan (FSG), yang menyelaras keperluan sokongan utama seperti logistik, penyenggaraan, khidmat perubatan dan pengangkutan.
“Bagi pasukan FSG, kamilah yang pertama tiba di Kem Tilpal dan yang terakhir meninggalkan kem ini,” ujar beliau, yang dijangka pulang ke Singapura pada Disember 2026.
Pasukannya menyenggara kenderaan beroda seperti Kenderaan Utiliti Operasi (OUV) dan Kenderaan Utiliti Ringan (LUV).
Bengkel itu turut menyokong penyenggaraan kenderaan lain, termasuk kenderaan berantai seperti Hunter dan kenderaan tempur beroda seperti Terrex.
“Peranan saya sebagai OIC Kenderaan Beroda adalah untuk menyelia dan memastikan kenderaan sentiasa berada dalam keadaan baik serta memenuhi keperluan latihan,” katanya.
Tanggungjawab beliau turut merangkumi pengagihan dan penyeliaan tugas penyenggaraan, penyelarasan operasi pemulihan kenderaan serta memastikan semua tugas dilaksanakan dengan selamat.
Antara cabaran utama yang dihadapi pasukannya di Australia ialah bekalan alat ganti yang terhad.
“Di Singapura, kami mempunyai semua kemudahan, peralatan dan alat ganti yang diperlukan.
“Namun, bagi XWB, kami hanya bergantung pada peralatan dan alat ganti yang dibawa ke Australia, yang jumlahnya terhad dan perlu disesuaikan dengan ruang yang tersedia,” jelasnya.
Sekiranya kenderaan mengalami kerosakan di lapangan, pasukannya akan menghubungi unit berkenaan untuk mengenal pasti masalah dan menentukan sama ada pembaikan boleh dilakukan di lokasi.
“Jika kenderaan itu didapati selamat untuk dibaiki di lokasi, kami akan menjalankan pembaikan di situ dengan selamat.
“Jika tidak, kami akan mengerahkan Kenderaan Pemulihan Beroda (WRV) untuk menundanya kembali ke kemudahan penyenggaraan kami,” kongsi beliau.
Di samping itu, kerja pembaikan juga diberi keutamaan berdasarkan keperluan latihan.
Adakalanya, pasukan ME2 Nor Farid perlu bekerja melebihi waktu biasa bagi memastikan kenderaan siap dalam tempoh empat hingga lima hari untuk latihan atau penilaian seterusnya.
Bagi ME2 Nor Farid, yang telah menyertai XWB sebanyak empat kali selepas mengambil bahagian pada 2024, pengalaman tersebut memberinya peluang untuk menyumbang kepada pertahanan negara.
Menerangkan lebih lanjut tentang penglibatannya untuk XWB kali ini, bapa seorang anak lelaki berusia lapan tahun itu berkata:
“Saya merasakan bahawa sumbangan kami kepada pertahanan negara amat bermakna, sama seperti sumbangan rakyat Singapura yang lain.
“Saya berpendapat setiap rakyat Singapura harus memainkan peranan masing-masing, lebih-lebih lagi sebagai seorang anak lelaki Singapura.
“Kita harus melakukan bahagian kita untuk melindungi Singapura.”