USAHA menyediakan pakej berupa langkah membantu pemandu teksi dan kereta pajak swasta mengharungi kesan pandemik Covid-19 sedang dibangunkan dan akan diumumkan tidak lama lagi.
Demikian jaminan yang diberi Menteri Negara Kanan (Pengangkutan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Dr Amy Khor.
Menulis di Facebook pada Sabtu (12 September), Dr Khor berkata, pihaknya akan mempertimbangkan maklum balas dan saranan yang diterima menerusi interaksi bersama operator khidmat teksi dan kereta pajak swasta serta pemandu sejak tiga minggu lalu.
"Dalam tempoh tiga minggu lalu, saya bertemu dengan pemandu dan pengendali teksi serta kereta pajak swasta.
"Lawatan terkini saya adalah ke Gojek bersama Menteri Pengangkutan, Encik Ong Ye Kung. Kami mengadakan perbincangan yang bermakna dengan pihak pengurusan Gojek serta rakan kerjasama mereka iaitu golongan pemandu.
"Sesi mendekati mereka yang dijalankan secara berterusan telah membantu saya lebih memahami situasi dan keprihatinan mereka dalam pandemik Covid-19 ini.
"Kebanyakan pemandu berkongsi dengan saya bahawa mereka khususnya risau sama ada skim bantuan seperti peruntukan wang dari Dana Bantuan Khas pemerintah akan dilanjutkan.
"Beberapa pemandu juga bertanya jika kami dapat melindungi kehidupan pemandu berusia yang bergantung pada pendapatan memandu teksi atau kereta pajak swasta.
"Pemandu kereta pajak swasta yang berbual dengan saya juga mempunyai keprihatinan serupa," kata Dr Khor.
Catatan beliau ini mengimbas amanah baru yang digalasnya sejak sebulan setengah lalu di Kementerian Pengangkutan.
Menurut Dr Khor, beliau meluangkan masa mengenali pelbagai aspek kementerian ini khususnya bagaimana sektor pengangkutan darat memainkan peranan penting dalam kehidupan seharian warga Singapura.
Sektor pengangkutan darat, ujar Dr Khor, membolehkan warga Singapura melalui perjalanan selamat dan mudah di samping menyediakan pekerjaan yang bermakna buat ramai penduduk setempat.
Ini termasuk dalam cabang tugas khidmat pelanggan, pentadbiran, kejuruteraan, khidmat teknologi maklumat, kapten bas serta pemandu teksi dan kereta pajak swasta.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg