Pakej sokongan $1.1 bilion yang merangkumi subsidi gaji dipertingkat di bawah Skim Bantuan Pekerjaan (JSS), bantuan membayar sewa dan sokongan tambahan bagi pemandu teksi dan kenderaan sewa privet akan diberikan pemerintah untuk mengurangkan kesan sekatan Covid-19 lebih ketat ke atas perniagaan dan pekerja.
Dana bantuan baru bagi pegerai di pasar dan pusat penjaja juga dimuatkan dalam pakej yang diumumkan oleh Kementerian Kewangan (MOF) pada Jumaat (23 Julai), sehari selepas sekatan dipertingkat itu berkuatkuasa.
MOF berkata sokongan JSS akan ditambah sehingga 60 peratus bagi sektor yang paling terus terjejas seperti makanan dan minuman (F&B), gimnasium dan pertubuhan seni yang terpaksa menggantung sebahagian atau semua kegiatan.
Pakej itu akan dibiayai menggunakan wang dari bajet lain yang kurang digunakan akibat Covid-19, di mana beberapa projek tertangguh. Dana yang diketepikan untuk membiayai langkah sokongan yang dilanjutkan juga akan digunakan, kata MOF.
Pemerintah telah mengambil kira maklum balas pekerja dan perniagaan semasa membentuk pakej sokongan ini, selain melibatkan pemimpin perniagaan dan persatuan perdagangan untuk memahami keprihatian mereka, kata MOF dalam kenyataannya, yang diterbitkan menjelang perbahasan di Parlimen minggu depan.
Sejak Khamis (22 Julai), Singapura telah berbalik kepada langkah keselamatan lebih ketat dalam Fasa kedua (Kewaspadaan Dipertingkat), yang akan dilaksana sehingga 18 Ogos untuk mengekang penularan Covid-19 yang kian bertambah.
Ini termasuk mengehadkan perhimpunan sosial kepada kumpulan dua orang - daripada lima orang sebelum ini, - dan mengehadkan khidmat F&B kepada penghantaran makanan dan bawa pulang dari kedai sahaja.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg