Pakej sokongan dibiayai menerusi peruntukan semula belanjawan, projek ditangguh

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pakej sokongan dibiayai menerusi peruntukan semula belanjawan, projek ditangguh

Jul 27, 2021 | 5:30 AM

Pakej sokongan dibiayai menerusi peruntukan semula belanjawan, projek ditangguh

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
KEADAAN LEBIH MENCABAR: Ramai pemilik perniagaan terutama dalam sektor F&B berkata mereka berhadapan keadaan lebih mencabar selepas lebih setahun setengah bergelut dengan ketidakpastian pandemik. - Foto BH oleh JASON QUAH
KEADAAN LEBIH MENCABAR: Ramai pemilik perniagaan terutama dalam sektor F&B berkata mereka berhadapan keadaan lebih mencabar selepas lebih setahun setengah bergelut dengan ketidakpastian pandemik. - Foto BH oleh JASON QUAH -

ENCIK Wong berkata pakej sokongan itu akan dibiayai menerusi peruntukan semula belanjawan, sambil mengekalkan prinsip tanggungjawab fiskal dan sikap cermat.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan menteri mengenai langkah sokongan bagi Fasa Dua (HA) di Parlimen semalam.

Encik Wong berkata pihaknya telah bekerjasama dengan pelbagai agensi untuk mengenal pasti $0.9 bilion yang tidak digunakan bagi perbelanjaan operasi dan pembangunan yang ditangguh disebabkan Covid- 19.

Ini termasuk kegiatan yang ditangguh atau dibatalkan di sekolah akibat pandemik itu, serta projek binaan yang ditunda.

Selain itu, pemerintah telah sebelum ini memperuntuk dana $0.2 bilion sedang ia menjangkakan langkah sokongan mungkin perlu dipertingkat atau dilanjutkan.

"Secara keseluruhannya, kami menyediakan sokongan berjumlah lebih $2 bilion untuk pekerja dan perniagaan bagi dua tempoh kewaspadaan dipertingkat dari Mei.

"Memandangkan kita membiayai pakej sokongan itu menerusi peruntukan semula, kami menjangkakan kedudukan fiskal bagi tahun kewangan 2021 untuk kekal tidak berubah dengan defisit keseluruhan $11 bilion atau 2.2 peratus daripada GDP (Hasil Dalam Negeri Kasar)," kata Encik Wong.

Secara keseluruhan juga, pemerintah tidak menjangkakan tempoh terbaru kewaspadaan dipertingkat ini akan menjejas pemulihan ekonomi, tambah Encik Wong.

Sektor domestik yang berdepan dengan pengguna seperti runcit serta makanan dan minuman (F&B) akan terus menghadapi cabaran.

Namun, Encik Wong menarik perhatian sekitar 70 peratus kegiatan ekonomi berada dalam sektor yang berdepan dengan pasaran luar.

Oleh itu, Singapura kekal diramalkan mencapai pertumbuhan GDP sekitar 4 hingga 6 peratus tahun ini, selagi permintaan luar kekal sihat.

Kata Encik Wong lagi, ketidaktentuan lebih besar kepada pemulihan Singapura adalah kesan varian Delta kepada ekonomi besar di Eropah dan Amerika Syarikat, serta ke atas permintaan luar.

"Secara amnya, kebanyakan negara masih menjangkakan pemulihan ekonomi global yang kukuh tahun ni. Tetapi terdapat kebimbangan meningkat bahawa sedang negara-negara dibuka semula dan varian Delta merebak, kes yang kembali naik boleh mengakibatkan lebih ramai dimasukkan hospital dan terkorban, terutamanya dalam kalangan penduduk tidak menerima vaksin.

"Ini boleh memaksa negara untuk kembali mengenakan sekatan, dan menjejas pertumbuhan ekonomi global," kata Encik Wong.

Justeru, pemerintah akan terus memantau perkembangan global yang boleh menjejas Singapura, serta kekal tangkas menyesuaikan strategi Covid-19 dan ekonomi.

Dalam ucapannya lagi, Encik Wong berkata pemerintah telah meraih maklum balas daripada pemilik perniagaan mengenai cabaran yang dihadapi mereka.

"Ramai yang memberitahu kami situasi mereka lebih sukar kali ini. Ia bukan hanya mengenai perlunya memasuki satu lagi tempoh kewaspadaan dipertingkat.

"Tetapi ia merupakan cabaran lebih luas perlu melalui sekatan lebih setahun setengah, serta gangguan berterusan kepada perniagaan mereka," kata Encik Wong.

Bagaimanapun, ramai yang memahami keperluan bagi sekatan terbaru dan menunjukkan daya tahan dan keazaman untuk mengharungi masa sukar ini, tambah Encik Wong.

Agensi ekonomi akan terus mendekati pekerja dan perniagaan untuk memahami keprihatinan mereka, kata Encik Wong.

Akhirnya, cara terbaik menyokong perniagaan dan pekerja adalah untuk memastikan penularan Covid-19 terkawal, lebih ramai menerima suntikan vaksin, dan membuka semula ekonomi, tambah Encik Wong.

SEKILAS PAKEJ SOKONGAN

  1. Skim Bantuan Pekerjaan dipertingkat bagi sektor terjejas
  2. Bantuan sewa bagi hartanah komersial
  3. Pakej Perangsang Penghantaran Makanan dilanjutkan
  4. Pakej Perangsang E-Dagang diteruskan
  5. Langkah sokongan kredit terus disediakan
  6. Dana Bantuan Kewangan Covid-19 untuk Pemandu (teksi dan kereta sewa privet) dipertingkat
  7. Dana Bantuan bagi Pemilik Gerai di Pasar dan Pusat Penjaja
  8. Geran Pemulihan Covid-19 (Sementara) (CRG-T) bagi pekerja terjejas dilanjutkan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg