Pertubuhan Palang Merah Singapura (SRC) telah mengikrarkan $150,000 untuk menyokong usaha bantuan kecemasan di Myanmar dan Thailand, selepas gempa bumi berukuran magnitud 7.7 menggegarkan kedua-dua negara berjiran itu pada 28 Mac.
Bencana besar itu telah mengorbankan lebih 1,000 warga Myanmar dan mencederakan lebih 2,000 yang lain, dengan jumlah kematian dijangka meningkat, menurut laporan media Myanmar.
Sekurang-kurangnya sembilan orang telah disahkan mati di ibu negara Thailand, Bangkok, di mana pihak berkuasa telah mengisytiharkan darurat.
Lapan orang maut dalam runtuhan sebuah bangunan di Bangkok dan lebih 100 dikhuatiri terperangkap di tapak itu.
Jumlah $150,000 daripada SRC itu adalah sumbangan permulaan, yang akan diikuti tidak lama lagi dengan satu rayuan pengumpulan dana awam, kata SRC pada 29 Mac.
Wang akan digunakan bagi memenuhi keperluan penting dan segera, seperti pengagihan makanan, air, selimut, kain terpal dan perlengkapan kebersihan, lapor The Straits Times.
Setiausaha Agung dan Ketua Eksekutif SRC, Encik Benjamin William, berkata pertubuhan kemanusiaan itu amat prihatin dengan masyarakat yang terjejas, di mana ramai yang “cedera, kehilangan tempat tinggal dan memerlukan bantuan segera”.
Beliau berkata: “Kerosakan yang meluas kepada prasarana menghalang operasi menyelamat dan bantuan segera. Skala kemusnahan itu memerlukan tindak balas kemanusiaan yang pantas dan terselaras.”
Kumpulan itu bekerjasama rapat dengan persatuan Palang Merah tempatan dan bersedia memberikan bantuan lanjut, termasuk pengerahan bantuan kemanusiaan, tambah SRC.
Gempa bumi pada 28 Mac itu diikuti dengan gegaran susulan yang kuat dengan magnitud 6.4 serta beberapa gegaran lebih kecil.
Kebanyakan kerosakan berlaku di Mandalay, pusat gempa dan bandar kedua terbesar di Myanmar, yang dikenali sebagai pusat penganut Buddha.
Perang saudara di Myanmar yang meletus pada 2021 selepas junta tentera melancarkan rampasan kuasa, berkemungkinan menghalang operasi menyelamat dan bantuan.
Keganasan telah melanda sebahagian besar negara Asia Tenggara itu apabila kumpulan pemberontak lama dan pasukan penentang awam baru melawan pemerintahan junta.
Konflik itu telah menyebabkan lebih 3 juta orang kehilangan tempat tinggal di Myanmar, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg