Pembantu klinik seorang doktor yang didakwa menyediakan rekod vaksinasi Covid-19 palsu kepada seorang pesakit kini menghadapi tuduhan lebih berat.
Thomas Chua Cheng Soon, 40 tahun, didakwa semalam bersubahat dengan seorang pengamal perubatan umum (GP) Jipson Quah dan seorang pesakit yang dikenal pasti bernama Mehrajunnisha untuk membuat pengesahan palsu kepada Kementerian Kesihatan (MOH), lapor The Straits Times (ST).
Jika disabit kesalahan, Chua boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun, denda atau kedua-duanya.
Chua sebelum ini menghadapi tuduhan bersubahat untuk cuba menipu MOH, yang boleh membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun, denda atau kedua-duanya.
Chua semalam merayu agar hukuman yang lebih ringan dikenakan kepadanya.
"Saya hanya setakat mengikut arahan daripada Jipson untuk melakukan kesalahan itu. Saya hanya orang tengah," katanya.
Timbalan Pendakwaraya (DPP), Encik Samuel Yap, telah meminta Chua agar direman sepanjang seminggu hingga 4 Februari ini.
Apabila ditanya oleh hakim mengapa reman Chua perlu dilanjutkan, DPP Yap berkata:
"Penipuan yang dilakukan amat ketara dan kehadiran si pesalah adalah satu keperluan agar siasatan dapat dijalankan dengan sempurna."
Mahkamah diberitahu bahawa pada atau sekitar 14 Januari, Chua dipercayai telah bersubahat dengan Quah untuk memberi pengesahan palsu kepada MOH bahawa Mehrajunnisha telah divaksinasi dengan suntikan vaksin Sinopharm, meskipun dia tidak menerimanya.
Ini supaya Mehrajunnisha dapat memperolehi sijil vaksinasi Covid-19.
Selasa lalu, tuduhan Quah juga diubah kepada memberi pengesahan palsu kepada MOH.
Pada 25 Januari lalu, polis telah mengeluarkan satu kenyataan bahawa Quah dan pembantu kliniknya, Chua, telah diberkas bersama dengan Iris Koh, pengasas kumpulan antivaksin, Healing the Divide.
Siasatan awal mendapati Quah dan Chua didakwa telah bekerjasama untuk menghantar maklumat vaksinasi palsu, sementara Koh, 46 tahun, dipercayai telah merujuk pelanggan kepada mereka.
Koh telah dimasukkan ke hospital semalam, menjelang perbicaraannya semalam.
Dia juga hadapi tuduhan lebih serius - bersubahat dengan Jipson Quah untuk membuat pengesahan palsu kepada MOH - yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun, denda atau kedua-duanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg